Amy Mastura kini dah berhijab. Dia mula beralih imej dua minggu sebelum Ramadan.
Setelah tergerak hati untuk berubah, Amy menyasarkan untuk mula bertudung Ramadan ini. Namun dia lebih awal berhijrah.
“Saya berhajat nak mula berhijab menjelang Ramadan, tapi saya dahulukan. Apatah lagi pada masa itu tak ada lagi komitmen lakonan yang memerlukan saya meneruskan konti dalam watak.
“Saya akui tersentuh juga tengok ramai artis muda yang berhijab. Saya fikir, saya yang dah tua ni bila lagi,” kata Amy yang kini pada usia awal 40-an.
Bukanlah bererti dia mengikut orang lain atau ikut trend, sebaliknya menyifatkan perubahan itu sebagai sudah sampai masanya dan ia datang dengan keinginan sendiri.
Dia bukannya mahu bersara bila dah berhijab sebaliknya akan terus aktif berlakon.
“Saya sekarang ni berlakon pun watak mak mak saja, jadi tak ada masalah sangat bila berhijab,” sambung Amy.
Amy kelihatan ayu sahaja dalam imej baru itu. Dia juga tak memikirkan gaya tudung tertentu untuk dikenakan.
“Saya serahkan kepada jurusolek dan pereka saya yang tentukan untuk hadir ke majlis,” katanya semasa ditemui pada majlis berbuka puasa bersama artis Sony Music di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur malam tadi.
Pada majlis itu artis Sony menghiburkan pengunjung berbuka puasa sambil meraikan anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Baitul Kasih.
Sementara itu lagu Amy, Setahun Sekali turut dimuatkan dalam album Menjelang Syawal terbitan Sony yang kini sudah dipasarkan.
Ia memuatkan beberapa lagu baru nyanyian Noh Salleh, Alyah, Royce Saayan dan Forutoc.
No comments: