Alasan mengatakan wujud ancaman keselamatan menyebabkan dialog 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat terpaksa dibatalkan boleh dipertikaikan, kata seorang wartawan veteran.
Datuk A Kadir Jasin berkata, Najib sebelum ini biasa muncul di kawasan terbuka bersama ribuan hadirin tanpa sebarang isu.
"Bagaimana satu acara, yang dianjurkan beberapa hari sebelumnya, diadakan di sebuah premis tertutup dimiliki Umno, tiba-tiba disimpulkan polis sebagai tidak selamat atau mungkin ganas?
"Mengapa selepas semua orang berkumpul dan Tun Dr Mahathir Mohamad sampai, tiba-tiba perjumpaan awam ini, yang dianjurkan orang Umno, menjadi tidak selamat?" soal bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu.
Beliau berkata kepada The Malaysian Insider, jika polis dapat menjamin keselamatan Najib pada majlis yang dihadiri ribuan orang, mereka tentu boleh memastikan keselamatan beliau pada forum yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu.
"Jika beliau boleh muncul di depan beribu-ribu orang di Sarawak, Pahang, Perlis, di kawasan terbuka, mengapa tidak boleh muncul di kawasan tertutup dengan hanya 1,000 orang?
"Anda tidak boleh menyalahkan rakyat kerana membuat kesimpulan pihak polis diarahkan mengeluarkan amaran itu untuk menyelamatkan Najib daripada dimalukan.
"Hakikatnya, bukan orang lain yang memalukannya, tetapi beliau sendiri. Dialog itu bukan satu perjumpaan yang ganas. Ia satu perhimpunan yang sangat sivil.
"Semua ini tidak lebih sekadar alasan yang lemah untuk melindungi ketidakhadiran Najib," kata Kadir.
Najib dijadualkan menghadiri satu dialog bertema "Nothing2Hide" (Tiada apa hendak disembunyikan) anjuran SukaGuam pada Jumaat, tetapi menarik diri atas nasihat Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengarahkan sesi itu dibatalkan atas alasan menjaga "ketenteraman awam dan keharmonian negara".
Acara itu ditangguhkan dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya naik ke pentas dan berucap sebelum polis menghentikan beliau, walaupun bekas perdana menteri itu cuba berunding dengan mereka.
Ramai mengkritik tindakan polis itu dan ketua polis negara sendiri mengakui arahan menghalang Dr Mahathir berucap di forum itu juga datang darinya.
Tetapi menurut Kadir, yang diketahui rapat dengan bekas perdana menteri itu, Dr Mahathir tidak marah dengan polis yang menghentikan ucapannya.
Malah, Kadir berkata, Dr Mahathir memberitahunya, walaupun polis mematikan mikrofon dan video, mereka berlaku sopan sepanjang kejadian itu.
"Saya tak rasa beliau dikasari. Saya bertemu beliau selepas kejadian itu, beliau juga tidak rasa begitu," kata Kadir.
Kadir berkata, Dr Mahathir tidak boleh merungut apabila tidak dibenarkan berucap di forum itu kerana majlis itu memang bukan untuknya.
"Acara itu dianjurkan untuk Najib, bukan beliau, tetapi perdana menteri tidak hadir.
"Daripada segi protokol, Dr Mahathir tidak boleh mengadu beliau tidak dibenarkan bercakap," kata penyokong negarawan bersara itu.
Pemerhati mengatakan, kegagalan Najib hadir dalam forum yang turut disertai Dr Mahathir, bekas penyokong yang kini pengkritik tegarnya, menjejaskan kredibiliti dan merosakkan reputasinya.
Mereka berkata, walaupun dikatakan wujud ancaman keselamatan, perdana menteri yang sehari sebelumnya mengisytiharkan dirinya mempunyai "semangat pahlawan", sepatutnya membuktikan kehebatannya dan berbincang dengan pengkritik itu serta menjawab semua soalan berhubung isu semasa, terutama sekitar 1MDB yang sarat dibebani hutang.
sumber
No comments: