» » Ahli Parlimen BN berang kerana terbukti sekarang GST punca harga barang melambung tinggi


Jawapan seorang timbalan menteri hari ini, berhubung laporan peningkatan dan penurunan harga barangan asas yang dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), membangkitkan kemarahan seorang ahli Parlimen Barisan Nasional.

Wakil rakyat Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan jawapan Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Seri Ahmad Bashah Hanifah berhubung cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai 'syok sendiri' kerana tiada pendekatan turun padang dilakukan beliau.

"Kita sekarang ini ada isu serius, jangan kita jadi syok sendiri sahaja...

"Bila kita turun padang, sebelum kita sampai, jangan umum seluruh dunia mana kita nak pergi, memang kedai akan turun harga," katanya di Dewan Rakyat hari ini, mencelah Bashah yang sedang membuat ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi pihak kementeriannya.

Tiong marah kerana katanya, laporan yang diberikan KPDNKK tersebut berhubung harga barangan itu tidak selari dengan dakwaan Putrajaya ketika mahu melaksanakan GST sebelum ini yang menyatakan rakyat akan menyaksikan penurunan harga.

"Kita tahu GST sememangnya satu sistem percukaian yang baik. Kita juga tahu dalam negara ini ada lebih kurang 2 juta pembayar cukai. Itu pun banyak orang curi ayam... tapi sekarang ini berlaku kekeliruan.

"Dahulu ada timbalan menteri kata, kalau laksana GST, harga barangan akan turun, tapi sekarang sudah lain, ini timbul kekeliruan," katanya.

Oleh itu, beliau berpendapat, kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk menurunkan kadar GST 6% sekarang kepada 2% atau 3% sebagai tempoh permulaan bagi rakyat menyesuaikan diri dengannya.

Beliau juga turut memberi amaran sekiranya kerajaan terus bertindak menekan rakyat dengan GST sebanyak 6%, tidak mustahil BN akan kalah dalam pilihan raya akan datang.

"Dalam kertas memang cantik, tapi bagaimana dengan pelaksanaan, kawalannya, kordinasinya? Kerana itu saya cadang agensi kementerian terlibat berbincang untuk turunkan GST ini sebanyak 2% hingga 3%.

"Kita beri rakyat faham dulu. Walaupun hasil memang kurang, tapi rakyat boleh faham.

"Kalau kita tekan habis rakyat dengan 6% ini, kita terbang dalam pilihan raya, memang tidak ada gunanya," katanya.

Tiong juga mendakwa, ramai pegawai KPDNKK yang masih tidak faham pelaksanaan GST, menyebabkan para peniaga juga tidak memahaminya.

"Kalau tidak faham, kita terangkan, bukan menghukum. Ini semua nak guna kuasa... Kalau semua nak guna kuasa, nanti rakyat pun akan guna kuasa mereka tukar kerajaan," katanya.

Terdahulu, Bashah memberitahu Dewan Rakyat, hasil laporan harga kenaikan dan penurunan barangan berdasarkan pemantauan dan analisa KPDNKK bagi 446 barangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menyaksikan peningkatan sebanyak 1 sen hingga RM4.44 sen.

"Bagi Semenanjung, sebanyak 122 barangan menyaksikan penurunan harga berbanding 228 harga barangan yang naik.

"Di Sabah, peningkatan harga membabitkan 206 barangan dan turun 115 barangan. Manakala di Sarawak, sebanyak 130 barangan turun harga dan yang naik harga ialah 267," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .