Debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Najib Razak tidak perlu diadakan kerana segala persoalan sudah dijawab perdana menteri dalam tulisan di blognya semalam, kata Khairy Jamaluddin.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, Dr Mahathir juga perlu menunggu sehingga siasatan dan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.
"Tak payahlah berdebat. Saya rasa Yang Amat Berhormat (Najib) pun sudah beri jawapan.
"Dalam 1MDB pun kita sedang menunggu siasatan dan audit yang dibuat Jabatan Audit Negara.
"Jadi kita tunggulah selesai siasatan," katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Berjaya Corporation Berhad di Putrajaya, hari ini.
Bekas perdana menteri itu dalam program Bicara Negara di Ipoh, Perak, pada Sabtu menyatakan kesediannya untuk berdebat secara terbuka dengan Najib mengenai isu 1MDB.
Pada sidang media sama, menteri belia dan sukan itu menafikan laporan akhbar mengatakan Umno semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) minggu lalu memberi tempoh tertentu kepada Najib menyelesaikan sendiri kemelut 1MDB.
Tetapi beliau mengakui, keadaan akan menjadi lebih baik jika isu itu dapat diselesaikan dengan segera.
"Tidak ada apa-apa tempoh masa. Kita semua buat keputusan untuk selesaikan masalah ini, tapi tidak bagi tempoh masa.
"Lebih cepat lebih baik. Perbincangan kita lebih kepada bagaimana nak selesaikan masalah," kata Khairy.
Mengulas jawapan Najib yang terhadap 13 tuduhan yang diberikannya secara bertulis melalui media sosial Twitter dan blognya www.najibrazak.com, beliau berharap ia dapat memuaskan hati rakyat.
Katanya, isu terbabit tidak perlu diperkatakan lagi memandangkan semuanya sudah dijawab Najib.
"Saya melihat tindakan yang sangat proaktif daripada perdana menteri untuk menjawab dengan jelas secara bertulis isu-isu yang dibangkitkan pelbagai pihak.
"Saya harap mereka yang tanya soalan ini puas hati.
"Berapa kali nak suruh perdana menteri jawab soalan, terutamanya isu jet kerajaan, kes Altantuya? Saya rasa jawapan perdana menteri dah cukup jelas," katanya merujuk wanita Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu.
Najib semalam turut menjawab dakwaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ialah rasuah, pencapaiannya yang dikatakan lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada pilihan raya umum akan datang.
No comments: