» » Gesa buka semula tender projek tenaga 1MDB


DAP menggesa Suruhanjaya Tenaga membuka semula bidaan untuk projek jana kuasa arang batu 2,000 MW yang diperolehi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengelakkan kemungkinan tarif elektrik naik melalui penjualan konsesi tersebut oleh 1MDB.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengulas keengganan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membayar harga lebih tinggi daripada nilai perolehan tender jana kuasa itu yang dikenali sebagai Projek 3B.

1MDB dilaporkan gagal memperolehi pembiayaan sebanyak RM11 bilion untuk projek itu dan sehingga kini menyebabkan ia tertangguh selama 8 bulan, kata Pua.

"Jadi, untuk melindungi kebebasan, integriti dan urus tadbir kerajaan dan pihak pemantau berkuasa, Suruhanjaya Tenaga mesti bersedia membuka semula tender Projek 3B bagi memastikan pengeluar tenaga dengan tarif paling rendah melaksanakan projek itu.

"Jika tidak, rakyat Malaysia biasa akan berdepan beban yang tidak dapat dielakkan dalam membayar kos elektrik yang lebih tinggi," kata Pua dalam satu kenyataan.

Laporan sebelum ini menyebut TNB sedang berbincang dengan 1MDB untuk membeli ekuiti terbesar dalam Projek 3B yang 70% dimiliki 1MDB dan 30% lagi dipegang Mitsui Co Ltd.

Projek bernilai RM11 bilion itu sepatutnya bermula secara berperingkat mulai 1 Oktober 2018 dan ia terletak bersebelahan stesen kuasa Jimah yang dimiliki TNB sebanyak 25% dan bakinya dimiliki 1MDB.

Memetik laporan The Edge Financial Daily, Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd bertegas tidak akan membayar harga premium untuk konsesi itu sekiranya ia membelinya dari 1MDB.

Malah, TNB mungkin hanya akan membelinya pada harga diskaun dari 1MDB, laporan sama dipetik.

Mengulas perkara ini, Pua yang merupakan setiausaha publisiti kebangsaan DAP memuji ketegasan TNB menjauhkan diri daripada bersekongkol dengan kerajaan untuk menyelamatkan 1MDB ketika ia gagal memenuhi terma dan syarat konsesi tenaga itu.

"Rakyat Malaysia lega apabila TNB mengumumkan pada hari sama yang ia tidak akan membayar harga premium untuk projek itu," katanya.

Namun, rakyat Malaysia khuatir kata Pua, dengan kenyataan TNB yang mereka akan menyemak semula tarif elektrik jika ia mengambil alih projek itu bagi memastikan projek itu boleh dilaksanakan.

"Oleh kerana projek ini dianugerahkan melalui tender terbuka, Suruhanjaya Tenaga mestilah tidak meluluskan sebarang pemindahan hak ke atas konsesi tenaga itu jika ia melibatkan pertukaran tarif yang dipersetujui.

"Semakan sedemikian akan memperolokkan tender terbuka itu yang dibuat untuk mendapatkan tarif terendah dari pembida yang layak.

"Hakikatnya, 1MDB hanya berjaya memenangi konsesi itu selepas pembida paling rendah, iaitu konsortium yang diketuai YTL Power, hilang kelayakan atas dasar teknikal, walaupun menghantar tender paling rendah," katanya.

Pua turut menggesa kerajaan mendenda 1MDB kerana gagal memenuhi kontrak selepas menandatangani perjanjian konsesi itu sehingga membawa kepada perbincangan dengan TNB untuk membeli projek tersebut.

"Suruhanjaya Tenaga perlu mengenakan penalti wang terhadap 1MDB kerana gagal memenuhi tanggungjawab kontrak konsesi itu dan menjejaskan keselamatan dan kos tenaga Malaysia," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .