Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menafikan wujud gesaan supaya presiden Umno merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan beliau ketika mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu berlangsung hari ini.
Sebaliknya, katanya, mesyuarat hari ini lebih banyak tertumpu kepada mencari penyelesaian kepada isu berbangkit yang hangat diperkatakan rakyat.
"Yang dibangkitkan hari ini bukan soal kesetiaan, tetapi lebih penting isu yang sedang hangat dibahaskan rakyat. Kita mahu isu ini diselesaikan segera," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat tersebut.
"Ini adalah kenyataan yang menzahirkan kerisauan kita. Tiada salahnya kita menyuarakan kebimbangan kita terhadap isu semasa," kata menteri belia dan sukan itu.
Malah, kata Khairy, mesyuarat tersebut juga berjalan dalam suasana positif dan Najib menerima segala pandangan yang diberikan ahli Majlis Tertinggi.
"Perdana menteri sangat terbuka dalam menerima pandangan ahli Majlis Tertinggi.
"Suasananya sangat positif, sebab kita berbincang dalam suasana yang amat terbuka," kata Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau itu.
Terdahulu, ketika mesyuarat itu sedang berlangsung, tersebar di media sosial dakwaan kononnya ahli Majlis Tertinggi Umno sedang menggesa Najib berundur.
sumber
No comments: