Didesak bekas pemimpin tertinggi parti agar berundur, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan hari ini, ahli Majlis Tertinggi parti menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinannya.
Katanya, perkara tersebut dinyatakan mereka sendiri semasa mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Berdepan tekanan susulan isu syarikat yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau juga berkata, pucuk pimpinan parti Melayu itu mahu pemimpin parti di setiap peringkat bersatu mendepani isu yang berbangkit.
"Majlis Tertinggi yang bersidang tengahari ini melahirkan sokongan yang padu kepada presiden dan timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Majlis tertinggi mahu presiden, timbalan presiden dan semua pemimpin tertinggi Umno bersatu dalam satu pasukan menangani segala cabaran dan mengambil tindakan yang positif mengukuhkan lagi kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN) di sisi rakyat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu.
Dengan keputusan tersebut, perdana menteri turut berkata, anggota Majlis Tertinggi berharap mereka diberi peluang menyumbangkan idea supaya isu berbangkit dapat diselesaikan.
"Majlis Tertinggi juga menyatakan, kalau ada sebarang isu berbangkit, ia mengharapkan diberi peluang dan ruang untuk menyumbang idea yang bernas dan cadangan yang positif supaya isu tersebut boleh ditangani dan dicari penyelesaian yang sebaik-baiknya," kata Najib.
Najib sebelum ini berhadapan tekanan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berundur dan perdana menteri paling lama berkhidmat itu sering mempertikaikan keputusannya, terutamanya membabitkan isu 1Malaysia Development Fund (1MDB) dan cara pentadbirannya.
Berikutan kritikan-kritikan yang diterimanya, beberapa pemimpin Umno bagaimanapun menyatakan sokongan terbuka kepada pentadbiran Najib.
Selain kepimpinan Umno, Najib turut menerima sokongan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk beliau terus mentadbir negara.
Parti Gerakan menerusi presidennya sebelum ini Datuk Mah Siew Keong menyatakan pendirian parti itu yang berkeyakinan terhadap Najib dan menyeru semua pihak memberi sokongan padu kepada pengerusi Barisan Nasional (BN) itu yang dilihat individu terbaik untuk memimpin negara.
Beliau berkata rakyat Malaysia juga perlu yakin dengan kepimpinan Najib bagi memastikan negara terus kekal pada haluan pembangunan untuk menjadi sebuah negara maju dan mencapai Wawasan 2020.
Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) turut menyatakan keyakinan dan sokongan penuh terhadap kepimpinan Najib yang sentiasa membela kebajikan masyarakat India dan rakyat keseluruhannya.
Presiden IPF Datuk M Sambanthan berkata semua ahli parti menyokong penuh perdana menteri yang dilihat membawa transformasi politik, ekonomi dan sosial yang membina kepada negara ini.
Malah, MCA turut menyatakan pendirian parti itu yang menyokong penuh kepimpinan Najib dan enggan melayan kritikan terhadap kepimpinannya.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata fokus parti sebagai ahli komponen BN adalah bersama-sama Umno untuk membangunkan negara ini.
"Kami memberi sokongan penuh kepada perdana menteri. Kami sangat fokus kepada pembangunan negara bersama-sama Umno serta BN dan tidak membenarkan sebarang serangan bagi menggugat pendirian kami membina negara ini," katanya.
Sebelum itu, beberapa pihak lain termasuk Pergerakan Puteri Umno, Majlis Senator Malaysia, ahli Parlimen BN dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri BN Perak menyatakan pendirian sama.
Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menafikan perkara seumpama itu berlaku, sebaliknya, menegaskan mesyuarat hari ini lebih banyak tertumpu kepada mencari penyelesaian kepada isu berbangkit yang hangat diperkatakan rakyat.
"Yang dibangkitkan hari ini bukan soal kesetiaan, tetapi lebih penting isu yang sedang hangat dibahaskan rakyat. Kita mahu isu ini diselesaikan segera," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat tersebut.
"Ini adalah kenyataan yang menzahirkan kerisauan kita. Tiada salahnya kita menyuarakan kebimbangan kita terhadap isu semasa," kata menteri belia dan sukan itu.
Malah, kata Khairy, mesyuarat tersebut juga berjalan dalam suasana positif dan Najib menerima segala pandangan yang diberikan ahli Majlis Tertinggi.
"Perdana menteri sangat terbuka dalam menerima pandangan ahli Majlis Tertinggi.
"Suasananya sangat positif, sebab kita berbincang dalam suasana yang amat terbuka," kata Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau itu.
Terdahulu, ketika mesyuarat itu sedang berlangsung, tersebar di media sosial dakwaan kononnya ahli Majlis Tertinggi Umno sedang menggesa Najib berundur.
sumber
No comments: