Syarikat telekomunikasi (Telco) menyokong usaha Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam mengenal pasti jalan terbaik bagi menangani isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan mudah alih prabayar.
Namun, mereka berpendapat, perlaksanaannya memerlukan masa kerana ia melibatkan banyak pihak dalam ruang lingkup sistem prabayar itu sendiri seperti proses mengemas kini bahagian sokongan, latihan untuk pegawai di barisan hadapan serta penyediaan bahan komunikasi untuk pengguna.
"Pasaran prabayar merupakan satu ekosistem yang kompleks. Oleh itu, ia akan menjadi satu cabaran bagi mana-mana penyedia perkhidmatan mudah alih untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan dalam tempoh masa yang pendek," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) U Mobile, Wong Tuck Heang.
Nilai rantaian ini menjadi lebih rumit berdasarkan pelbagai pilihan pengisian tambah nilai prabayar seperti kad fizikal, tambah nilai secara maya, Internet dan perbankan mudah alih serta mesin ATM, katanya kepada Bernama.
Sembilan puluh peratus daripada pelanggan U Mobile terdiri daripada pengguna prabayar dan 10% lagi menggunakan kaedah pasca bayar.
U Mobile kini mempunyai lebih 11,000 peniaga tradisional dan 31,000 saluran pengedaran alternatif di seluruh negara yang terdiri dari kedai runcit, rangkaian kedai elektrik, pasar raya besar dan pasar raya.
"Walaupun menghadapi cabaran ini, U Mobile komited menyokong menteri, dan akan memberi tumpuan dalam menyediakan bahagian pengedaran dan sokongan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami," kata Wong.
Maxis Bhd yang mempunyai pandangan yang sama dengan U-Mobile, berkata firma itu memerlukan masa yang mencukupi untuk mengatur semula sistem dan bekerjasama dengan peruncit pihak ketiga, penjual semula dan ejen jualan.
"Pelaksanaan perubahan baru termasuk GST ke atas tambah nilai prabayar akan melibatkan kerumitan yang sama bagi menyusun atur semula sistem atau aktiviti lain.
"Ini termasuk proses untuk menukar tiket tambah nilai daripada semua titik sentuhan fizikal, yang perlu dilakukan secara manual, peniaga dengan peniaga," kata Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Bhd, Morten Lundal.
Sehingga 31 Mac lepas, Maxis mempunyai 8.992 juta pelanggan prabayar, dan 2.823 juta pelanggan pasca bayar.
Menurut Lundal, Maxis bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST ke atas caj tambah nilai prabayar.
"Kami akan terus memberi sokongan penuh kepada Menteri, sebagai sebahagian daripada usaha bagi mencari penyelesaian terbaik untuk manfaat pelanggan dan industri," katanya.
Digi Telecommunications Sdn Bhd dalam penjelasannya berkata kesukaran yang dialami termasuk usaha untuk memastikan kelancaran kesinambungan pengalaman pelanggan dan perniagaan merentas 15,000 titik sentuhan DiGi.
"Berdasarkan majoriti 45 juta pengguna mudah alih di Malaysia menggunakan kemudahan prabayar, termasuk mereka yang mempunyai pelbagai kad sim, kami mahu keputusan muktamad dan segera dilakukan untuk menangani isu ini," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Albern Murty.
Digi mengambil masa lebih 8 bulan untuk menyediakan sepenuhnya sistem bagi melaksanakan GST pada 1 April lepas.
Satu lagi syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata Bhd, yang mempunyai hampir 10.2 juta atau 78% pelanggan prabayar, berkata masih terlalu awal untuk syarikat itu membuat anggaran masa yang diperlukan bagi mengubah sistem sedia ada kerana ia merupakan satu proses yang masih dalam kajian.
Sehingga Disember 2014, pelanggan Celcom berjumlah 13 juta, dengan kira-kira 16,000 saluran pengedaran tradisional serta 17,000 bukan tradisional.
Pada ini, tambah nilai RM10 menetapkan GST sebanyak 60 sen.
Sehingga semua perubahan ini dibuat, pengguna akan terus membayar GST ke atas nilai tambah.
sumber
No comments: