DAP hari ini meminta Datuk Seri Najib Razak berhenti "berbohong", mengulas penafian perdana menteri semalam mengenai kehilangan RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang katanya nilai hutang itu kini tersimpan dalam bentuk dua hartanah yang bakal dibangunkan di Kuala Lumpur.
Setiausaha publisiti DAP Tony Pua berkata, menurut penyata kewangan 1MDB yang berakhir 31 Mac, 2014, kedua-dua bidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia itu, yang dimiliki dana pelaburan negara yang sarat dibebani hutang itu, hanya bernilai RM5.83 bilion.
Kedua-duanya, tanah TRX seluas 70 ekar dan Bandar Malaysia seluas 500 ekar, dibeli dari kerajaan pada harga sejumlah RM1.86 bilion, katanya.
Secara kumulatif, menurut rekodnya, aset syarikat itu hanya berjumlah RM14 bilion, termasuk sebidang tanah di Pulau Pinang yang dibeli pada RM1.27 bilion dan pengambilalihan 3 pengeluar tenaga bebas bernilai RM10.9 bilion.
"Ada berbaki RM28 bilion lagi daripada jumlah RM42 bilion hutang yang tidak dapat dikesan. Pelajar sekolah rendah pun boleh mengiranya dan menganggap Najib membuat pembohongan besar.
"Mengagumkan saya Najib boleh dengan selamba melakukan pembohongan terbesar, mendakwa hutang RM42 bilion 1MDB itu tidak hilang, kerana ia mempunyai 500 ekar tanah Bandar Malaysia dan 70 ekar tanah TRX," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kami menyeru perdana menteri berhenti berbohong kepada rakyat Malaysia. Beliau perlu menjelaskan dengan bukti kukuh ke mana perginya baki RM42 bilion itu, selepas ditolak RM14 bilion hartanah dan syarikat tenaga," katanya.
Dalam usaha menghentikan kontroversi sekitar 1MDB, Najib berkata semalam, dua bidang tanah di pusat bandar Kuala Lumpur itu merupakan "lombong emas" dan jika beliau seorang hartawan, beliau akan membeli tanah di situ kerana nilainya akan bertambah dalam 20 tahun akan datang.
Menjawab hujah Najib, Pua berkata: "YAB Perdana Menteri, jika saya seorang yang kaya dan anda tawarkan saya tanah Bandar Malaysia dan TRX masing-masing pada harga paling rendah RM74 dan RM64 setiap kaki persegi, yang merupakan harga yang dibayar 1MDB, saya pun tidak akan lepaskan peluang. Saya tidak perlu nasihat yang sebegitu 'perseptif' daripada anda."
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, mustahil nilai kedua-dua plot tanah itu, pada RM5.83 bilion, boleh melambung naik dan mewajarkan hutang 1MDB itu.
"Pertama, adakah tanah seluas 28.3 hektar di TRX dan 200 hektar di Bandar Malaysia itu nilainya hampir menyamai RM42 bilion?"
Beliau berkata, satu-satunya sebab yang boleh diterima kenapa 1MDB bermasalah membayar balik hutangnya ialah kerana baki RM28 bilion itu sama ada tersimpan dalam aset atas kertas yang tidak bernilai atau hilang sama sekali.
Dana pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 2009 itu menerima kritikan hebat susulan mencatatkan hutang sehingga RM42 bilion yang disokong oleh Putrajaya.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kemudahan tersedia sejumlah RM950 juta untuk 1MDB, di mana RM600 juta kini digunakan.
Pendedahan yang dibuat menerusi laporan Sarawak Report baru-baru ini, menambahkan tekanan ke atas Najib, yang mengilhamkan penubuhan 1MDB, mendorong ahli politik pembangkang, bekas pemimpin Umno dan badan anti-rasuah menuntut satu siasatan menyeluruh dijalankan.
Pengkritik seperti Pua, ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut jawapan daripada syarikat itu dan penjelasan ke mana perginya hutang RM42 bilion yang dibuat 1MDB itu.
sumber
No comments: