Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap sebagai menteri pemalas kerana tidak menjaga portfolionya sebagai menteri pendidikan dan meninjau keadaan sekolah yang daif di Sabah dan Sarawak, kata bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.
Ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu berkata, pegawai kementerian pendidikan yang bertanggungjawab juga tidak turun padang dan tidak tahu apa yang berlaku di bawah terutamanya di kawasan pedalaman.
"Masih belum terbela. Ada orang posting pada saya gambar sebuah sekolah di Keningau yang terlalu daif.
"Puncanya pegawai yang bertanggungjawab tidak turun ke bawah. Kenapa mereka tidak turun ke bawah?
"Kerana menteri dan timbalan menteri juga malas turun ke bawah. Justeru, mereka tidak akan tahu apa yang berlaku di bawah," kata Puad dalam status Facebook yang dimuat naik semalam, tidak berapa lama selepas Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri mempertahankan pandangannya dalam video yang tersebar agar lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipecat.
Puad merujuk kepada dua gambar yang diterimanya, memaparkan murid sekolah rendah menggunakan meja kayu yang usang dan rosak, dikatakan sekolah di Keningau, Sabah.
Puad yang juga bekas timbalan menteri pendidikan itu turut lantang membidas Putrajaya yang hanya mengumumkan peruntukan perbelanjaan berbilion ringgit untuk sektor pendidikan tetapi meragui sama ada manfaat itu dinikmati rakyat.
"Bunyi cantik di atas. Kerajaan belanja berbilion untuk 1Bestarinet, tetapi apakah disiasat keberkesanannya?
"Itu belum lagi dipaparkan asrama dan rumah guru yang daif di kawasan pedalaman," katanya.
Beliau turut membidas Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diilhamkan Muhyiddin tetapi masih tidak cekap membela sekolah daif walaupun sudah memegang jawatan itu selama dua penggal.
"Sepatutnya bila TPM jadi menteri pelajaran hampir dua penggal, maka cepatlah terbela sekolah-sekolah daif terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak.
"Turunlah ke bawah! Jangan banggakan PPPM kalau 'level playing field' masih tidak sama," katanya.
Kenyataan Puad itu menimbulkan reaksi pengguna Facebook, namun Ahli Majlis Tertinggi Umno itu mempertahankan tindakannya.
Pengguna akaun Facebook Rushdan Bin Mohamed mengaitkan kenyataan itu dengan pergeseran antara Muhyiddin dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun Puad dalam responsnya berkata: "Tiada masalah kalau hilang jawatan. Apa ada hal. Jangan hilang hati budi. Masa saya di KPM dulu saya tetap bersuara keras setiap kali mesyuarat Post Cabinet".
Fakhrul Anwar turut mempersoalkan tugas Puad sebagai ketua pengarah Jasa sepatutnya menerangkan dasar kerajaan dan bukannya mengkritik timbalan perdana menteri secara terbuka.
"Kena sampaikan komplen rakyat. Tak rugi jika diambil secara positif," jawabnya.
Beliau turut mempertahankan semasa memegang jawatan timbalan menteri, semua pejabat pendidikan daerah termasuk 70% sekolah pedalaman Sabah dan Sarawak sudah dilawati.
Puad turut memuat naik beberapa gambarnya keletihan meredah hutan, sungai, dan menaiki bot turun padang meninjau sekolah di pedalaman.
"Saya memulakan perjalanan dari Sinapa masuk hutan memanjat gunung dari 4 petang dan sampai ke Sekolah berkenaan jam 11.50 malam. Sekolah berkenaan dekat sempadan Kalimantan.
"Keletihan tidak terhingga tetapi demi anak bangsa diteruskan dan kini sekolah berkenaan sudah ada asrama pelajar yang baru. Siap setahun kemudiannya walaupun sukar kerana bahan binaan dibawa menggunakan helikopter," katanya.
Puad sebelum ini mempertahankan Najib daripada diserang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membangkitkan isu pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas, Koperal Sirul Azhar Umar.
Puad semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Batu Pahat apabila tewas kepada calon PKR, Datuk Idris Jusi dengan majoriti 1,732 undi.
sumber
No comments: