» » Dayana Roza kembali single setelah berpisah dengan pemain bolasepak


Sebelum ini, kisah cinta di antara Dayana Roza dengan seorang pemain bola sepak, bukan lagi rahsia. Malah, heroin popular drama, Asam Pedas Untuk Dia ini pernah mengakui yang hubungan ini benar-benar serius sehingga menganggap ia adalah percintaannya yang terakhir.

Namun, belum sempat hubungan ini melangkah ke gerbang perkahwinan, pasangan ini dikatakan sudah membawa haluan masing-masing.

“Saya kembali single, bulan Februari lalu,” kata Dayana kepada Mangga Online ketika ditemui di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, petang semalam (Khamis).

Aktres berusia 24 tahun ini ditemui selepas majlis pelancaran Oli Candy dan pengumuman Dayana sebagai duta produk kesihatan yang menggunakan inovasi pencerahan kulit melalui ekstrak daun zaitun tersebut.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, Datuk Wira Dr. Maznah Hamid. Turut hadir ialah dua pengasas Oli Candy iaitu Puteri Intan Zarith Che Rashidi dan Norazura Md Posdzi.

Apabila ditanya mengenai punca kepada keretakan hubungan mereka, Dayana memberitahu yang dia tidak mahu bercerita terlalu mendalam mengenainya.

“Kami putus semasa saya sedang sibuk dengan penggambaran drama Syurga Nur, lebih kurang tiga bulan lalu.

“Sebelum itu, saya ada dengar banyak cerita mengenai dia tapi saya diamkan saja.

“Tetapi nampaknya hubungan kami setakat ini sahaja, Tidak ada jodoh di antara kami,” ujarnya.

Boleh Hidup Tanpa Cinta


Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin ini bagaimanapun tidak menafikan bahawa dia sangat sedih apabila percintaannya itu berakhir.

“Semua orang pernah menghadapi putus cinta. Begitu juga dengan saya.


“Mungkin orang nampak macam saya tak kisah apabila putus cinta. Hakikatnya, saya sudah penat menangis sampai rasanya sudah tak ada air mata lagi.

“Dua tahun kami bercinta. Saya sendiri menganggap ini adalah percintaan saya yang terkakhir. Malah, bajet kahwin juga sudah ada yang mana saya ada menyimpan sedikit wang.

“Tapi nak buat macam mana… Bulan Januari, saya diajak kahwin. Bulan Februari, kami putus,” ceritanya lagi.

Namun, Dayana mengakui yang dia sudah boleh menerima hakikat bahawa mereka tidak ditakdirkan untuk hidup bersama.

“Saya tidak mengharap kat dia lagi, tak ada langsung.

“Saya dah move on… Tanpa cinta, saya boleh hidup dan saya tak mati tanpa ada lelaki di sisi saya,” tegas Dayana.

Mahu Lelaki Setia
Meskipun buat masa ini, Dayana tidak memerlukan pengganti kepada cintanya yang hilang, namun usianya masih muda untuk dia terus bersendirian tanpa cinta.

“Kalau ada pun, mungkin lambat lagi. Dulupun selepas setahun lebih berpisah dengan teman lelaki saya yang pertama, barulah saya bersedia untuk berkawan dengan pemain bola sepak ini.

“Sebenarnya, bukan tak ada lelaki yang nak berkawan dengan saya. Tapi apabila saya nampak ada yang berminat hendak rapat dengan saya, awal-awal akan saya beritahu yang saya tak nak ada boyfriend lagi buat masa ini.

“Kalau sekadar hendak berkawan, bolehlah. Saya masih belum ready untuk sebarang hubungan serius lagi.

“Hendak ikutkan sunyi, memanglah terasa sunyi tetapi saya bernasib baik kerana ada kawan-kawan baik yang sentiasa ada untuk memberi semangat kepada saya,” katanya.

Pengalaman putus cinta kali ini ini diakui menjadi pengajaran untuk Dayana lebih berhati-hati untuk serius dengan mana-mana lelaki.

“Saya belajar banyak benda daripada pengalaman ini. Antaranya, saya dapati kita tidak boleh melihat peribadi seseorang berdasarkan luarannya sahaja.

“Kalau seseorang itu nampak baik pada pandangan mata kasar kita, tidak semestinya dia seorang yang baik. Begitu juga, kalau kita nampak dia macam liar, tidak semestinya dia jahat,” jelasnya.

Agaknya, ciri-ciri lelaki yang macam mana yang akan menjadi pilihan Dayana selepas ini?

“Kalau boleh selepas ini, saya mahu seseorang yang setia, jujur, tidak menipu, sedar diri dan reti bersyukur.

“Tetapi sekarang, biarlah saya fokus kepada kerjaya saya dulu. Alhamdulillah, kebelakangan ini rezeki saya semakin murah. Banyak tawaran berlakon untuk saya.

“Sebenarnya, saya sudah tidak kisah dengan pengalaman lalu saya itu.


“Meskipun buat masa ini, saya tak ada teman lelaki tetapi ia tidak bermakna yang saya tidak move on dengan kehidupan saya,” akuinya.

Berpuasa di Sydney

Dayana yang memberitahu bahawa pintu rezekinya mulai terbuka luas terutamanya selepas putus cinta, berkemungkinan menyambut Ramadan di Sydney, Australia.

“Saya ada terima tawaran untuk berlakon dalam satu produksi tempatan yang memerlukan saya menjalani penggambaran selama dua hingga tiga minggu di Sydney.

“Tapi saya masih belum beri kata putus untuk terima tawaran ini atau tidak.

“Selain itu, insya-Allah dalam bulan Ramadan nanti drama bersiri lakonan saya iaitu Syurga Nur akan disiarkan di slot Akasia TV3.

“Dalam bulan puasa juga mungkin ditayangkan satu lagi drama berepisod lakonan saya iaitu Kias Ramadan.

“Sementara untuk musim Hari Raya pula, telemovie lakonan saya bersama Fatah Amin iaitu Panjut Untuk Mertua akan ditayangkan di TV3.

“Kemungkinan dalam bulan September nanti, akan ditayangkan drama Kahwin Kontrak lakonan saya bersama Keith Foo dan Risteena,” katanya.

Selain rezeki murah dalam bidang lakonan, Dayana juga bersyukur kerana dilantik menjadi duta produk buat pertama kalinya semenjak menceburi bidang seni menerusi rancangan, Anak Wayang ketika berusia 18 tahun.

“Sebenarnya sebelum jadi duta Oli Candy, saya dah pakai produk ini berdasarkan saranan kawan saya. Ketika itu, kulit saya gelap apabila selalu shooting adegan naik motor dalam drama Asam Pedas Untuk Dia.

“Setelah makan Oli Candy, saya dapati ia melindungi kulit saya daripada menjadi cepat gelap. Di waktu yang sama, saya juga rasa lebih bertenaga dan kurang penat.

“Tidak lama selepas itu, saya berjumpa dengan pengasas Oli Candy dan memberitahu yang saya adalah pengguna produknya.

“Bulan lepas, mereka menawarkan saya menjadi duta produk ini,” cerita Dayana.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .