Selepas bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengatakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hampir mencagarkan minyak dan gas asli di laut Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman tampil menegaskan Terengganu Investment Authority (TIA) tiada kaitan sama sekali dengan syarikat sarat hutang itu, walaupun pada awalnya melaburkan RM1 juta.
Menteri besar Terengganu itu menjelaskan, RM1 juta yang dilaburkan pada peringkat awal kepada 1MDB sebagai pendahuluan tetapi selepas ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) merasakan kerajaan negeri tidak mampu untuk mengurus dan tidak mahu mengambil risiko, mereka menarik diri dan RM1 juta itu dikembalikan.
"Isu ini tidak timbul apa-apa pun, 1MDB tidak ada lagi pada masa itu. Jadi TIA ditubuhkan semata-mata untuk kita buat pilihan lain kerana kita sedia maklum hasil petroleum kita sebanyak 90% penyumbang pendapatan kerajaan tidak selamanya akan dapat dipertahankan," katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
"Tengok tahun ini saja, kita sudah kekurangan (hasil petroleum). Jadi kerana itu pada masa itulah ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri membuat keputusan untuk membuat satu pelaburan, maka ditubuhkan TIA," katanya.
Namun, Razif berkata, kenyataan Ahmad berhubung cagaran hasil minyak dan gas di laut Terengganu itu merupakan luar daripada pengetahuannya.
"Maka tiada apa-apa kaitan antara TIA dengan 1MDB kerana pada masa itu, TIA sudah ditutup.
"Terengganu menggunakan konsep integriti dan saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk membuat laporan dan bertindak mengikut saluran yang betul," katanya.
Ahmad pada Selasa semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menggemparkan apabila mengatakan 1MDB pernah hendak mencagarkan minyak dan gas asli di laut Terengganu, namun keputusan itu ditarik balik.
Ahmad berkata urus niaga tersebut hampir dilaksanakan sewaktu syarikat itu mempunyai hubung kait dengan TIA ketika penubuhannya pada awal 2008.
Menurutnya, beliau turut dimarahi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ekoran penarikan semula pelaburan itu atas beberapa masalah yang timbul.
sumber
No comments: