» » 'Kerajaan terus fokus keutamaan rakyat M'sia di bawah RMK11'


Keutamaan rakyat terutama berkaitan kos sara hidup, pendidikan, keselamatan, pengangkutan awam dan infrastruktur luar bandar akan terus menjadi fokus di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar, kanan).

Najib, yang dijadual membentangkan RMK11 pada 21 Mei, berkata fokus istimewa akan diberikan juga terhadap pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional.

"Cita-cita kita (kerajaan) yang akan ditegaskan juga dalam Pelan Pembangunan Pendidikan, ialah untuk melahirkan siswazah yang serba boleh dan memenuhi keperluan industri.

"Malahan saya melihat kepada model dalam pendidikan teknikal dan vokasional di negara-negara lain termasuk Eropah yang mempunyai rekod cemerlang dalam tahun-tahun kebelakangan ini," katanya pada sesi dialog dengan pemimpin-pemimpin perniagaan di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Najib berkata 'Ekonomi Rakyat' tidak akan sempurna tanpa sokongan sektor swasta dalam meningkatkan pendapatan, menjana peluang pekerjaan dan memudahkan kemajuan dan pembangunan kerjaya.

"Sambil kita melihat ke hadapan dengan RMK 11, yang akan membawa kita melalui perancangan lima tahun akan datang, asas ekonomi kita adalah kukuh dan agenda transformasi negara meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mencapai Wawasan 2020," katanya.

Berkongsi dengan para pemimpin perniagaan itu mengenai asas-asas ekonomi berkenaan, Najib yakin prospek Malaysia adalah wajar dan berasas, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar kekal kukuh dan dijangka mencatatkan antara 4.5% hingga 5.5% tahun ini.

"Ini merupakan kadar yang sihat yang melebihi banyak negara di rantau ini dan testimoni kepada daya tahan ekonomi kita. Kepelbagaian adalah penting serta perlu dan ini menjadi satu daripada pembaharuan utama kita," katanya.

Najib juga menyatakan hasratnya untuk secara beransur mengurangkan cukai korporat bagi meningkatkan persaingan Malaysia dan ini memerlukan negara untuk mengembangkan asas pendapatannya daripada sumber berlainan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Ia akan mengambil masa dan hinggalah kita dapat menyelesaikan masalah awal dan penyalahgunaan yang berlaku, ia nanti akan dilihat sebagai satu langkah yang perlu.

"Mereka yang mencadangkan sebaliknya dan cuba menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap isu ini (seperti GST) ialah orang yang bertanggungjawab. Tiada sesiapa pun yang patut bermain politik dengan isu yang amat penting untuk masa depan negara ini," katanya.

Mengenai dialog itu, Najib berkata beliau menghargai sesi perbincangan dengan para pemimpin terkemuka perniagaan itu dan berharap dapat bekerjasama dan memanfaatkan bakat-bakat kelahiran tempatan di Malaysia.

"Saya mengharapkan akan mendengar daripada anda tentang bagaimana kita dapat bekerjasama, kerajaan dan para majikan, terutama tentang bagaimana untuk mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia, meningkatkan penyertaan pekerja wanita, melabur dalam meningkatkan kemahiran pekerja dan menambah pendapatan.

"Kami melihat kepada anda sebagai kapten industri dan tidak seharusnya berdiam diri. Kongsikan fakta. Ceritakan kejayaan perniagaan anda dan pertumbuhan yang diharapkan. Terpulang kepada kita sebagai pemimpin untuk merangsang dan menggalakkan orang kita dan ekonomi kita secara keseluruhannya, " katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .