» » 'Genap 69 tahun parti UMNO ditubuhkan dan akhirnya jadi parti sarkis sahaja'


Tuan presiden yang dihormati,

Ini bukan kali pertama saya menulis kepada tuan, juga bukan kali pertama rakyat Malaysia menulis surat terbuka kepada tuan.

Ini bukan juga kali pertama tuan tidak membaca tulisan daripada rakyat Malaysia yang mengkritik gaya hidup tuan sekeluarga serta pentadbiran tuan presiden di negara ini.

Justeru mengapakah saya menulis surat ini?
Sudah 69 tahun parti Umno yang dipimpin tuan presiden hidup di atas muka bumi ini meskipun ia mengalami fasa perubahan–Umno baru, di akhir 80an. Tahniah kerana Umno masih panjang umur dan menerajui pentadbiran negara sehingga hari ini.

Apabila menyebut Umno, tidaklah saya dapat lupa akan salah satu dialog yang terdapat dalam filem Pendekar Bujang Lapok yang ditayangkan pada 1959 apabila watak Sudin mengeja ‘’Alif mim nun wau...sarkas!’’

Tidak ada yang perlu dimalukan apabila Umno (ejaan jawinya ialah alif mim nun wau) disamakan dengan sarkas kerana sarkas adalah satu perniagaan yang menguntungkan.

Ramai penonton akan datang, gelak ketawa dan terhibur apabila memasuki sarkas. Ia menjadi sumber hiburan hasil daripada pertunjukan-pertunjukan yang terdapat di dalam sarkas.

Tidak ada sesuatu yang memalukan juga apabila Umno, dari 1959 hingga 2015 menjadi tumpuan dan gelak tawa umum hasil daripada "pertunjukan-pertunjukan" politik; bahkan ini membuktikan umno berpegang pada kata-kata azimat mereka: dulu, kini dan selamanya.

Saya tidak perlu membutirkan satu per satu akan situasi yang sedang dihadapi rakyat Malaysia hari ini. Cukuplah saya katakan, rakyat Malaysia pada ketika ini sedang hidup dalam suasana tertekan dan ditekan meskipun hiburan yang ada untuk rakyat marhaen seperti saya ketika ini cumalah kucing happy di Youtube.

Juga tidak saya berniat untuk bercerita panjang lebar akan isu Tabung Haji dan 1MDB- cukuplah ia menunjukkan, ahli Umno yang taat setia kepada tuan presiden akan mendapat jawatan-jawatan tinggi dalam agensi kerajaan walaupun saya fikir hanya itu sahaja kelayakan yang diperlukan untuk terus hidup sebagai ahli Umno.

Ya, taat setia atau budaya "yes man" berjaya diterapkan dalam parti pimpinan tuan presiden dan ia datang bersama ganjaran berupa kemewahan dan wang ringgit. Hipotesisnya mudah: Jika taat setia, dapatlah duit. Jika tak taat, mulai derhaka, akan hilanglah jawatan dan duit yang dimiliki ketika ini.

Sebab itu juga saya tidak hairan begitu ramai ahli Umno memilih jalan selamat untuk kekal setia di belakang tuan presiden kerana satu-satunya yang mereka miliki dalam hidup adalah wang ringgit. Tiada Umno tiadalah duit untuk mereka.

Walaupun ada yang sudah memberi kenyataan terbuka (padahal saya fikir mereka boleh membuat kenyataan sedemikian kepada tuan dalam mesyuarat kabinet setiap minggu), mereka memilih jalan berhati-hati dengan tidak "menderhaka" kepada tuan presiden.

Tidak ada seorang, kecuali bekas presiden Umno, yang secara terbuka meminta tuan presiden meletak jawatan.

Adakah saya terkejut apabila Majlis Tertinggi Umno menyatakan sokongan penuh kepada tuan presiden? Sudah tentu tidak.

Adakah saya juga terkejut apabila Umno di Sabah memberi sokongan penuh kepada tuan presiden? Juga tidak.

Penduduk di Sabah dan Sarawak masih memerlukan tuan presiden kerana mereka bergantung kepada Umno. Mereka masih hidup dalam kemiskinan dan apa yang mereka miliki hanyalah janji-janji pembangunan dan harapan, hanya kerajaan masa kinilah yang mempunyai duit untuk membantu mereka.

Disebabkan itu juga saya yakin tuan presiden akan menang dalam pilihan raya umum akan datang kerana kunci kejayaan tuan bukanlah di Semenanjung Malaysia tetapi di Sabah dan Sarawak.

Lebih menguntungkan apabila parti lawan tuan presiden masih tidak sedar akan hal ini dan gagal menjadi alternatif terbaik untuk mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

Selagi mana parti lawan gagal di Sabah dan Sarawak, selagi itulah tuan presiden akan menang dalam pilihan raya di negara ini.

Tetapi menurut perkiraan saya yang serba naif daif ini, eloklah kiranya tuan presiden berundur dan meletak jawatan memandangkan isu 1MDB ini sudah pun melarat dengan begitu dahsyat dan menakutkan.

Ya–menakutkan kerana TH yang menjadi harapan umat Melayu-Islam untuk pergi ke tanah suci terlibat sama dalam pergelutan syarikat 1MDB ini.

Tidak perlulah saya ingatkan tuan presiden akan apa kesannya jika sensitiviti umat Islam di negara ini tidak dijaga.

Permintaan saya ini berasaskan kepada kata-kata tuan presiden sendiri yang secara terbuka menyatakan, tuan mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan parti Umno.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab tuan presiden untuk berundur kerana isu 1MDB ini mempunyai kesan yang mendalam kepada akar umbi parti tuan serta rakyat jelata.

Tetapi jika tuan presiden menganggap sokongan Majlis Tertinggi Umno dan ahli-ahli Umno yang lain sebagai sokongan rakyat, saya dengan penuh hormat menyatakan, anggapan itu ternyata salah dan tidak tepat.

Dan tidak perlulah saya ungkit di sini akan berapa peratus sokongan undi yang diterima tuan presiden sewaktu pilihan raya umum yang lalu.

Jika tuan berasa segan untuk mendengar suara 53 peratus rakyat yang tidak mengundi tuan, maka dengarlah apa yang keluar daripada mulut rakyat yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam parti pimpinan tuan presiden nescaya tuan akan berasa malu jika menganggap sokongan Umno sama besarnya sokongan rakyat kepada tuan presiden.

Sudah tentu tuan tidak mahu meninggalkan legasi yang buruk sebagai perdana menteri dan presiden Umno. Saya juga tidak tahu bagaimana untuk menceritakan kepada anak cucu saya kelak akan jasa serta sumbangan tuan presiden kepada rakyat kecuali 1MDB dan GST.

Akhir kata, selamat hari lahir ke 69 Umno dan marilah kita sama-sama fikirkan apa yang akan ditulis serta diucapkan Dato' Onn Jaafar apabila melihat Umno dibawah pimpinan tuan presiden hari ini.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .