Belum reda kontroversi pembelian tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji, bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mendakwa 1MDB pernah hendak mencagarkan minyak dan gas asli di laut Terengganu, namun keputusan itu ditarik balik, lapor Sinar Harian.
Ahmad berkata urus niaga tersebut hampir dilaksanakan sewaktu syarikat itu mempunyai hubung kait dengan Terengganu Investment Authority (TIA) ketika penubuhannya pada awal 2008.
Menurutnya, beliau turut dimarahi Najib Razak ekoran penarikan semula pelaburan itu atas beberapa masalah yang timbul. Ia menyebabkan Najib Razak sangat berang kepada saya .
Beliau menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peka, Satiful Bahri Mamat mengenai hubungan 1MDB dengan kerajaan Terengganu, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika membahaskan titah sultan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN Ke-13, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Sebelum ini, 1MDB yang dibebani hutang sehingga RM42 bilion itu dikaitkan dengan pelbagai isu kontroversi, dan minggu lalu blog The Benchmark mendedahkan ia menjual tanah kepada Tabung Haji pada harga RM188.5 juta.
Keputusan itu mengundang pelbagai kritikan, termasuk daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menggesa Najib meletak jawatan.
Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya semalam menyatakan sokongan padu pimpinan tertinggi Umno kepada Najib.
No comments: