» » Akhirnya Najib Razak akui kenyataan Dr Mahathir yang 1MDB memang dibebani hutang sebanyak RM42 bilion


Anggota Majlis Tertinggi Umno hari ini menawarkan khidmat mereka dalam usaha menyelesaikan kemelut hutang yang melanda 1MDB , syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan , kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga merupakan perdana menteri, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur berkata, anggota kepimpinan parti Melayu itu turut menyokong usaha mencari penyelesaian membabitkan 1MDB yang kini dibebani hutang berjumlah RM42 bilion.

"Beberapa anggota Majlis Tertinggi menawarkan pengalaman mereka dan juga pengetahuan mereka untuk membantu dalam menyelesaikan masalah 1MDB.

"Majlis Tertinggi juga memberi sokongan kepada usaha untuk menyelesaikan masalah 1MDB dan meletakkan 1MDB sebagai satu badan yang dapat menyelesaikan permasalahannya," kata Najib, kepada pemberita.

Beliau berkata Ketua Audit Negara juga dikehendaki menyegerakan laporan mereka berkenaan pengauditan yang dijalankan Jabatan Audit Negara.

"Dalam soal 1MDB, Majlis Tertinggi mengambil maklum keputusan siasatan oleh ketua audit negara perlulah dipercepatkan supaya rakyat akan tahu apa hasil siasatan yang dilakukan ketua audit, dan saya harap ketua audit dapat membuat kenyataan tentang bila laporan tersebut boleh dibentangkan kepada PAC," katanya, merujuk kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Beliau berkata, anggota Majlis Tertinggi Umno juga mengharap tindakan yang tegas diambil terhadap sesiapa yang menyalahinya dari segi undang-undang.

"Ini bergantung kepada laporan yang akan kita terima daripada pelbagai pihak.

"Dalam pada itu, apa-apa langkah yang tegas yang boleh diambil, maka atas nasihat Majlis Tertinggi, pihak kerajaan akan memnberi pertimbangan dan akan membuat keputusan selanjutnya," kata Najib yang juga merupakan ahli Parlimen Pekan.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada 26 Mei, PAC akan memanggil ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB ketika ini, Arul Kanda Kandasamy serta mantan CEO 1MDB pertama, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat sejak Mac 2009 hingga Mac 2013.

Jawatankuasa di bawah Parlimen itu katanya, bersetuju memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB dalam satu perbincangan khas yang diadakan pada 30 April lalu.

“Dalam perbincangan ini, semua ahli PAC yang terdiri daripada 8 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta 5 daripada pembangkang sebulat suara bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009, selepas ditukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA)," kata Nur Jazlan.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, PAC juga akan memulakan prosiding dengan memanggil pegawai pengawal syarikat 1MDB, iaitu Irwan dan Rahmat yang pernah hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa itu pada 2012.

Nur Jazlan berkata surat panggilan kepada kementerian kewangan dan EPU sudah dihantar pada 6 Mei lalu dan mengikut peraturan dan kuasa yang diberikan kepada PAC oleh Parlimen Malaysia, semua pihak berkaitan perlu hadir di hadapan jawatankuasa itu.

Katanya, EPU ada menghantar surat balas kepada PAC Jumaat lalu, memaklumkan unit berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap tadbir urus syarikat 1MDB.

Beliau bagaimanapun berkata, PAC tetap mahu EPU hadir memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan kerana mereka pernah hadir sebelum ini bagi menjelaskan mengenai pelaburan 1MDB, selain turut bertanggungjawab terhadap pembangunan tanah Tun Razak Exchange (TRX) serta Bandar Malaysia, Sungai Besi.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .