» » 6 bank mahu 1MDB bayar segera hutang RM3.5 bilion


Masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berterusan lagi, yang terkini apabila ia perlu menjelaskan hutang AS$975 juta (RM3.52 bilion) empat bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya, lapor harian perniagaan Singapura, Business Times.

Enam bank diketuai Deutsche Bank kini dalam usaha memaksa syarikat itu menyelesaikan hutangnya kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Business Times melaporkan enam bank tersebut mula risau ekoran dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

"Susulan kontroversi ini, apa yang pada awalnya dianggap sebuah pinjaman yang bersandarkan cagaran yang amat ketat kini membimbangkan bank," kata akhbar itu memetik sumber.

Dalam situasi terburuk, sekiranya jumlah itu gagal dibayar, 1MDB juga berdepan kegagalan melangsaikan hutang sebanyak AS$15.5 bilion (RM42 bilion).

"Kemungkinan ini sudah lama disebut-sebut pengkritik," laporan itu dipetik.

Pihak terlibat kini sedang berbincang mengelakkan krisis berkenaan pinjaman tersebut.

Deutsche Bank Singapura yang dihubungi Business Times tidak dapat memberi komen, sementara 1MDB sebelum ini berkata ia tidak akan mengulas sebarang spekulasi atau khabar angin pasaran.

Pada 22 April, laman Sarawak Report berkata akaun 1MDB di BSI Singapore mengandungi "aset atas kertas semata-mata" dan "nilai sebenarnya tidak dapat ditentukan".

Semalam, Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli menyatakan kerisauan sama ada 1MDB boleh membayar hutangnya yang bakal matang.

Dakwanya, beliau mempunyai maklumat dana pelaburan negara itu menyenaraikan akaunnya di BSI Singapore "yang diragui" sebagai cagaran.

Jika benar, kata Rafizi, 1MDB mungkin menggunakan dana awam untuk memenuhi tarikh akhir pembayaran pada September ini, memandangkan akaunnya di Bank BSI sebenarnya tidak memiliki wang tunai.

Business Times dalam laporannya turut maklum isu hutang 1MDB ini melibatkan beberapa bank seperti BSI, RBS Coutts dan Deutsche Bank.

Menurutnya, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) membantu pihak berkuasa Malaysia menyiasat akaun firma itu yang bermasalah.

Ia berkata beberapa bank, termasuk BSI Singapore, akan mengambil tindakan undang-undang jika "kes ini menjadi semakin serius dan tuntutan dibuat terhadap mereka".

"Ia langkah berjaga-jaga yang biasa dilakukan," kata sumber itu.

Akhbar itu juga berkata seorang pegawai BSI Singapore yang mungkin berurusan dengan 1MDB diarahkan bercuti dan beliau juga dipercayai mengupah peguam.

Seorang peguam yang tidak dinamakan berkata: "MAS adalah penyelia yang berhati-hati dan cermat dan ada banyak kuasa untuk memperoleh maklumat daripada bank dengan cepat.

"Persoalannya kini adalah sama ada kemelut membabitkan bank Singapura ini adalah tentang kegagalan mematuhi amalan terbaik atau pencabulan yang terletak di bawah bidang kuasa badan penyelia lain seperti CAD (Jabatan Hal Ehwal Komersial) dan polis".

1MDB yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2009 dikritik hebat apabila mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kredit sedia ada kepada 1MDB sebanyak RM950 juta dan RM600 juta sudah digunakan.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .