Susulan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hingga menyaksikan kenaikan harga barangan, PKR mendapati kuasa membeli rakyat terutama warga emas kini menurun secara mendadak.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata trend penurunan membeli warga emas amat membimbangkan kerana golongan tersebut paling terkesan dengan kenaikan harga barang.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata GST tidak hanya menyebabkan harga barangan asas meningkat naik, ia termasuk ubat-ubatan apabila tidak semua dikenakan dengan kadar sifar GST.
"Pada 8 April lepas, Fomca mendapati harga barangan meningkat sebanyak 20 hingga 30% berbanding harga dicadangkan buku panduan harga yang dikeluarkan kerajaan.
"Secara keseluruhannya, golongan berpendapatan rendah, termasuk warga emas adalah antara yang paling terkesan dengan kenaikan harga ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nurul Izzah berkata warga emas tidak lagi mempunyai pendapatan tetap dan tiada pekerjaan untuk menanggung kehidupan dan berdepan dengan GST.
Katanya, kebimbangan itu berdasarkan situasi peningkatan harga ubat-ubatan menyebabkan warga emas tidak akan mampu membeli ubat kerana menumpukan perbelanjaan mereka ke atas barangan asas lain.
"Ini akan membawa kesan jauh lebih buruk, yang mungkin menyebabkan penyakit atau keadaan kesihatan serta kualiti hidup warga emas berada di luar kawalan," katanya.
Beliau berkata, meskipun kerajaan menambah jenis ubat-ubatan yang berkadar sifar, hakikatnya masih lagi banyak ubat penyakit seperti tekanan darah tinggi dikenakan GST.
"Januari lepas, Malaysian Pharmaceutical Society (MPS), Malaysian Community Pharmacy Guild (MCPG), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA), Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Malaysian Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) mengeluarkan kenyataan sebenarnya hanya 320 jenis ubat dikadarkan sifar di bawah GST.
"Ini disebabkan walaupun dalam Senarai Ubatan Penting Kebangsaan (NEML) terdapat 4,200 jenis ubat, namun sebenarnya ubatan sama dihasilkan syarikat berlainan dikira beberapa kali. Sebagai contoh, parasetamol yang dihasilkan pelbagai syarikat dikira sebagai 17 ubatan berlainan oleh kerajaan," katanya.
Nurul Izzah berkata beberapa harga ubat didapati meningkat antara 20% hingga 50% pada 2014 dan dijangka naik mendadak pada tahun ini.
Sehubungan itu, katanya, Putrajaya perlu dengan segera mengambil langkah membatalkan pelaksanaan GST sehingga rakyat benar-benar bersedia menerima rejim percukaian ke atas kepenggunaan.
"Warga emas juga kini terpaksa berbelanja lebih untuk barangan seperti lampin pakai buang dewasa serta makanan tambahan seperti Milo dan susu.
"Dalam lawatan saya ke Pasar Taman Seri Sentosa hari ini, majoriti warga emas yang saya temui mengeluh tentang kenaikan harga barang disebabkan GST," katanya.
Beliau berkata sudah terbukti impak GST adalah lebih besar ke atas golongan yang berpendapatan rendah berbanding golongan pendapatan tinggi.
"Ini menunjukkan kegagalan kerajaan untuk memastikan rejim cukai yang baru ini sebagai rejim cukai yang progresif," katanya.
sumber
No comments: