Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mempersoalkan mengapa polis masih belum menyiasat ahli perniagaan Low Taek Jho yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun laporan polis sudah dibuat.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata siasatan sepatutnya dilakukan segera memandangkan laporan polis terhadap watak utama di sebalik syarikat yang berjaya mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion dalam tempoh 5 tahun sudah lama dibuat.
Katanya, beliau sendiri membuat laporan polis pada 4 Mac, 2015 dan memberikan dokumen lengkap berserta nama watak utama yang dimaksudkan iaitu Low yang juga dikenali sebagai Jho Low, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Halmi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Namun, sehingga hari ini, berbulan-bulan selepas laporan polis dibuat, polis belum pun mengangkat jari mereka untuk menyoal siasat Jho Low.
"Jho Low sendiri mengaku kepada media antarabangsa pihak berkuasa Malaysia belum pernah mencuba untuk mendapatkan bantuannya dalam siasatan tersebut," kata Pua dalam satu kenyataan dan menambah pemimpin Umno turut membuat laporan terhadap 1MDB seawal Disember tahun lepas.
Beliau merujuk kepada laporan polis bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada 12 Disember, 2014 yang menggesa laporan terperinci ke atas 1MDB dilaksanakan.
"Ia amat mengecewakan apabila ketua polis negara boleh menjadi begitu cekap tanpa belas ihsan dalam menyiasat tweet pemimpin pembangkang, aktivis masyarakat sivil, ahli akademik dan orang kebanyakan di jalanan.
"Namun, mereka sangat liat dalam bertindak terhadap individu yang mungkin merompak berbilion ringgit wang pembayar cukai Malaysia," katanya.
Pua berkata, polis perlu jelaskan jika Low sebenarnya kebal di sisi undang-undang memandangkan beliau dilihat mesra dengan Najib dan ahli keluarganya.
"Kami menggesa polis berhenti berlengah-lengah dan melaksanakan tugas mereka dengan segera tanpa gentar atau rasa pilih kasih," katanya.
Low dalam satu wawancara bersama majalah Euromoney mencuri perhatian ramai apabila menuduh Umno sebagai "pakar putar belit" yang mengaitkan namanya dengan 1MDB.
Kenyataan itu mengundang reaksi segera daripada beberapa pemimpin Umno yang mencabar Low pulang ke tanah air dan memberikan penjelasan kepada polis berhubung penglibatannya dengan 1MDB, satu tuduhan yang berulang kali dinafikan Low.
sumber
No comments: