Di sebalik Datuk Seri Najib Razak menerima sokongan satu persatu, bermula dengan ketua-ketua bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan Umno negeri-negeri, hakikat yang makin nyata ialah apa yang dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam serangannya selama ini semakin diakui ada kebenarannya.
Dua isu pokok yang dipersoalkan Mahathir terhadap Najib ialah berkenaan 1MDB dan keadilan untuk Sirul Azhar Umar. Berkaitan 1MDB, antara pertanyaan Dr Mahathir ialah ke mana perginya wang RM42 bilion yang ia berhutang dan apa peranan Jho Low dalam syarikat tersebut?
Dalam isu Sirul pula, pertanyaan Dr Mahathir ialah siapakah yang mengarahkannya membunuh Altantuya?
Selepas Najib mengadakan pertemuan dengan Pemuda Umno yang menyaksikan beliau dijulang kemudiannya, ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bukan saja meminta audit terhadap syarikat itu dipercepatkan, malah mahu Jho Low segera disiasat.
Ramai yang hairan kenapa Khairy secara tiba-tiba, tidak lama selepas menjulang Najib, mahukan pula Jho Low disiasat?
Apakah beliau tidak puas hati dengan penjelasan Najib dalam pertemuan itu atau tidak percaya dengan pengakuan PM sebelum ini, Jho Low tiada sebarang kaitan dengan urusniaga 1MDB?
Tidak lama selepas Jho Low tampil menuding Umno sebagai "kaki putar" dalam isu melibatkan dirinya, ahli Parlimen Kepala Batas yang juga bekas setiausaha Politik Tun Abdullah Ahmad Badawi, Reezal Merican Naina Merican pula mencabar ahli perniagaan itu agar berani kembali ke tanahair untuk menjelaskan kaitannya dengan 1MDB.
Dalam masa yang sama, Tony Pua dari DAP turut mendesak agar pihak polis segera menyiasat Jho Low dan Najib atas kesalahan melakukan jenayah kepada pembayar cukai.
Dengan pihak pembangkang dan Umno seakan "senada dan seirama" mahukan Jho Low disiasat, ia seolah-olah semakin ramai mulai sedar, kritikan dan teguran Dr Mahathir selama ini ada benarnya.
Dengan menangkap dan menyiasat Jho Low, barangkali banyak maklumat boleh diperolehi mengenai peranannya dalam syarikat yang bermasalah itu seperti dengan siapa dia berhubung, siapa yang memberi arahan, peranannya dalam beberapa entiti pelaburan di luar negara dan sebagainya lagi.
Secara logiknya, melalui maklumat daripada Jho Low sajalah kebarangkalian untuk mengetahui ke mana perginya berbilion-bilion wang 1MDB akan menjadi lebih mudah.
Dalam hal ini, adalah terpuji jika Najib dapat bertindak berani untuk memastikan Jho Low dapat dibawa pulang ke Malaysia dengan kadar yang segera bagi menjalani proses siasatan yang menyeluruh pihak polis.
Najib hakikatnya tiada pilihan lagi. Kata-katanya, Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB turut tidak dipercayai menterinya sendiri. Melakukan audit dan mengeluarkan kenyataan, Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB juga tidak diyakini.
Muncul menjawab di televisyen juga akhirnya diperlekehkan orang ramai. Apa lagi yang boleh dilakukan selain memberanikan diri membawa Jho Low ke medan siasatan dan pengadilan.
Jika ini dapat dilakukan, bukan saja orang ramai memuji tindakannya, bahkan mungkin mampu memberi kepuasan kepada Dr Mahathir akhirnya.
Begitu juga dalam isu Sirul. Sejak Dr Mahathir bersuara, keghairahan orang ramai ialah untuk mengetahui siapakah yang memberi arahan kepada anggota polis itu untuk membunuh Altantuya.
Sirul dalam pengakuannya pula mengatakan beliau diarahkan seseorang dan hanya menjadi kambing hitam dalam kes Altantuya itu.
Selari dengan keghairahan orang ramai itu, bekas ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam reaksinya mengatakan pihak polis boleh membuka semula kes itu untuk disiasat bagi menentukan siapa yang memberi arahan sebagaimana yang kerapkali ditanyakan Dr Mahathir.
Katanya, tidak ada sebab kertas siasatan tidak boleh dibuka semula memandangkan wujudnya laporan polis yang dibuat Altantuya sebelum kematiannya.
Sekali lagi, Najib juga harus berani mengarahkan pihak polis menyiasat semula kes pembunuhan itu bagi menentukan keadilan yang hakiki serta menjawab teka-teki orang ramai selama ini.
Hakikat Najib sudah bersumpah tidak pernah berjumpa atau mengenali Altantuya tiada kaitan sama-sekali kerana penyiasatan semula hanya menjurus untuk menentukan siapakah yang memberi arahan kepada Sirul melakukan pembunuhan itu.
Sama seperti kes 1MDB, kiranya Najib berani mengarahkan siasatan semula kes Altantuya ini, ia bukan saja mampu melimpahkan pujian kepadanya, bahkan juga tiada isu lagi Dr Mahathir meneruskan kritikan dan serangannya.
Ini kerana ia sesuai dengan soalan mudah Dr Mahathir kepada Najib sebelum ini - ke mana hilangnya wang 1MDB dan siapa yang beri arahan kepada Sirul?
Ayuh Najib, segera tangkap Jho Low dan buka semula kes Altantuya... habis cerita!
No comments: