Disaman fitnah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana komennya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mempertahankan diri dengan berkata beliau bertanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk menimbulkan isu berkaitan rakyat.
“Ia tanggungjawab undang-undang, sosial dan moral saya untuk menimbulkan isu yang berkaitan rakyat,” kata Pua dan menambah hak sebagai penggubal undang-undang sebagai salah satu dasar pembelaannya terhadap saman Najib.
Setiausaha publisiti DAP itu memfailkan dokumen mahkamahnya pada Isnin dan satu salinan diberikan kepada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak – peguam mewakili Najib.
Pua berkata orang ramai berhak untuk menerima maklumat tentang isu yang mempunyai kesan kepada mereka.
“Sebagai ahli Parlimen, saya membuat komen sah tentang perkara berkepentingan awam, berdasarkan maklumat dan fakta yang disahkan,” katanya di dalam dokumen mahkamah yang dilihat The Malaysian Insider.
Dalam kes julung kalinya seorang perdana menteri menyaman ahli Parlimen kerana fitnah di Malaysia, Pua juga bergantung kepada justifikasi pembelaan dan berkata maklumat didedahkan kepada umum tentang 1MDB adalah benar.
Dalam dokumen pembelaan 23 mukasurat itu, Pua juga mempersoalkan kedudukan Najib yang memfailkan saman tersebut memandangkan beliau merupakan ahli Parlimen Pekan, perdana menteri serta menteri kewangan.
“Tindakan beliau boleh dikritik kerana beliau memegang jawatan awam,” katanya.
Seorang lagi tertuduh dalam saman tersebut, Chan Chee Keong yang diwakili Raul Lee Bhaskaran, memfailkan pembelaan beliau pada 31 Mac.
Kes saman tersebut akan didengar di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera.
Najib memfailkan saman tersebut pada 6 Mac di pejabat daftar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur berkenaan ucapan Pua di majlis makan malam kutipan derma pada 3 November tahun lepas.
Dalam saman tersebut, Najib juga menamakan Chan, pemilik portal Media Rakyat sebagai defendan kedua.
Najib berkata rakaman ucapan tersebut dimuat naik oleh Chan ataupun ejennya ke laman YouTube dan Facebook Media Rakyat, dan kemudiannya dimuat naik sekali lagi Pua di akaun Facebooknya.
Najib menuntut permohonan maaf, penarikan balik kenyataan tersebut serta ganti rugi.
Beliau juga menuntut injunksi untuk menghalang Pua memuat naik apa-apa lagi kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.
Najib sebelum ini menghantar surat menuntut Pua memohon maaf dalam jangka masa 14 hari melalui dua akhbar tempatan, atau menghadapi tindakan undang-undang berkenaan ucapan bertajuk “Tony Pua: Najib is creating the biggest scandal ever in the history of Malaysia” (Najib mewujudkan skandal terbesar dalam sejarah Malaysia).
Menurut transkrip surat tersebut, Pua berkata: “Biar saya beritahu, inilah masalahnya dengan Barisan Nasional. Tiada yang berani menentang perdana menteri dan kini Najib seperti raja. Raja yang mewujudkan skandal paling besar sekali dalam sejarah Malaysia. Besar sekali! Tiada yang berani bersuara, tiada pun, senyap sekali daripada mana-mana pemimpin MCA atau Gerakan lebih-lebih lagi pemimpin Umno.”
“Ia memalukan, skandal yang sangat besar bagi entiti yang dimiliki 100% oleh Kementerian Kewangan dengan penasihat dipengerusikan perdana menteri sendiri tidak dapat menghantar akaunnya tepat pada masa, lebih-lebih lagi apabila syarikat tersebut begitu besar, rakyat melihat dengan penuh minat kepada hutang RM36 bilion yang mereka tidak dapat menghantar akaun mereka pada masanya.
“Hanya satu sebab saja untuk ini. Sebabnya adalah kerana kaki Gerakan, MCA, dan MIC ini tidak berani untuk menghadapi perdana menteri mereka, semua hanya berkata okay terima kasih, teruskan merompak wang rakyat.”
sumber
No comments: