» » Najib Razak dan Rosmah Mansor saman Rafizi


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan pemilik portal 'Media Rakyat' Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak.

Saman tersebut difailkan semalam (16 April) menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan ia diserahkan kepada Rafizi dan Chan hari ini.

Menerusi writ saman, Najib dan Rosmah menamakan Rafizi sebagai defendan pertama manakala Chan, defendan kedua.

Dalam penyata tuntutan, mereka mendakwa Rafizi memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 November, 2014.

Najib dan Rosmah mendakwa ucapan Rafizi dirakam 'Media Rakyat' yang kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk 'Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak'.

Mereka juga mendakwa rakaman yang sama turut dikongsi oleh Chan dalam laman Facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna Internet seluruh dunia.

Mereka berkata, rakaman tersebut ditonton sebanyak 9,736 kali dalam laman YouTube setakat 15 April manakala terdapat 356,569 pengguna yang mengikuti Facebook milik Rafizi dan 162,118 lagi dalam Facebook Chan.

Najib dan Rosmah berkata Mohd Rafizi mempunyai niat supaya perkataan yang disebut olehnya diterbitkan semula oleh media massa untuk dibaca orang ramai dan Rafizi bertanggungjawab dalam memfitnah mereka.

Menurut mereka lagi Chan gagal mengamalkan prinsip 'responsible journalism' atau kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.

"Defendan-defendan mempunyai pengetahuan dengan penerbitan semula perkataan fitnah tersebut akan menyebabkan kerosakan yang teruk dan meninggalkan kesan terhadap reputasi kedua-dua plaintif," kata mereka menerusi penyata tuntutan itu.

Najib dan Rosmah menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan yang akan ditafsir oleh mahkamah.

Mereka juga menuntut faedah ke atas ganti rugi tersebut atas kadar 5% setahun daripada tarikh penerbitan sehingga tarikh penghakiman dan tarikh penyelesaian penuh.

Turut dituntut ialah satu arahan injunksi untuk menghalang Rafizi, Chan dan pembantu mereka daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah terhadap plaintif dan perintah supaya kedua-dua mereka menerbitkan permohonan maaf secara bertulis dalam surat khabar dan majalah.

Najib dan Rosmah juga menuntut satu perintah supaya Chan mengeluarkan rakaman tersebut daripada laman YouTube Media Rakyat, laman web Media Rakyat dan facebook Media Rakyat dengan serta merta daripada tarikh penghakiman.

Sementara itu, Rafizi dalam kenyataannya petang ini berkata ada menerima penyata tuntutan saman berkenaan.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .