» » 'Jet peribadi pemimpin lebih penting dari perkhidmatan kesihatan rakyat M'sia'


Di manakah keutamaan kerajaan – jet mewah untuk pemimpin atau perkhidmatan kesihatan untuk rakyat, soal PKR, susulan laporan yang Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengalami potongan bajet sebanyak RM120 juta tahun ini.

Berita lanjut klik link ini : 'Bajet RM120 juta dipotong di PPUM jejas rawatan pesakit'

Mempertikaikan tindakan kerajaan terhadap perkhidmatan yang penting bagi negara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, dengan kenaikan kos sara hidup, persoalan yang menghantui rakyat ketika ini ialah, adakah kerajaan lebih mementingkan kemewahan pemimpin daripada kualiti hidup rakyat.

"Sementara kerajaan gah berbelanja membeli jet mewah untuk kegunaan perdana menteri dengan harga RM465 juta, tidak termasuk kos ubah suai sebanyak RM28 juta, kita dikejutkan dengan laporan pemotongan belanjawan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebanyak RM120 juta," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan mengurangkan belanjawan bagi salah satu perkhidmatan yang paling penting di dalam negara. Di manakah keutamaan kerajaan?

"Jelas dengan tindakan ini, slogan Rakyat Diutamakan yang sering dicanang kerajaan Barisan Nasional hanyalah mimpi sahaja," kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu hari ini.

Katanya, rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan harga ubat, yang naik antara 20% dan 30% tahun lepas dan diramalkan terus meningkat tahun ini, terutamanya selepas pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Tambahan pula, katanya, cuma lebih kurang 320 sebatian kimia (dalam 4,200 jenama ubat) yang diletakkan pada kadar sifar GST.

Nurul Izzah berkata, PPUM ialah sebuah hospital yang amat penting sekali, terutamanya kepada warga berpendapatan rendah di sekitar Lembah Pantai.

"Pemotongan belanjawan ini sudah tentu akan menyebabkan perkhidmatan kesihatan yang diterima oleh penduduk kawasan Parlimen saya terjejas teruk," katanya.

Beliau juga berkata, wujud keperluan segera untuk menyelaraskan antara hospital pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan, dengan hospital lain di bawah seliaan Kementerian Kesihatan.

"Saya menggesa kerajaan membetulkan keutamaan mereka.

"Tanggungjawab yang diamanahkan rakyat tidak boleh disalahgunakan untuk kemewahan pemimpin sahaja."

The Malaysian Insider melaporkan hari ini, doktor di PPUM bimbang yang penjagaan pesakit akan dikompromi selepas bajet hospital itu untuk tahun ini dikurangkan kepada RM387 juta berbanding RM510 juta tahun lepas.

Dan sebagai hospital pendidikan, mereka berkata, pemotongan itu juga akan meninggalkan kesan kepada kualiti pendidikan yang diberikan kepada pelajar perubatan.

Doktor itu juga berkata, pengurangan bajet itu dijangka memberikan lebih tekanan kepada keupayaan PPUM menyediakan penjagaan pesakit memandangkan ia menjangkakan peningkatan dalam bilangan pesakit yang beralih dari hospital swasta susulan pelaksanaan GST.

Bulan lepas, ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendedahkan, Putrajaya menempah jet peribadi baru untuk kegunaan Datuk Seri Najib Razak, dikatakan jet ketujuh milik kerajaan setakat ini.

Beliau berkata jet yang baru itu, sebuah Airbus ACJ320, diperoleh melalui rundingan terus sewa beli perjanjian dengan Jet Premier One, syarikat yang sama mengendalikan Airbus ACJ319 yang digunakan Perdana Menteri ketika ini, yang dicagar pada nilai RM28.8 juta setahun untuk sewa beli dan RM5.5 juta untuk kos penyelenggaraan, tidak termasuk kos bahan api.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .