Walaupun dipenjarakan, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mengikuti perkembangan politik terkini negara terutamanya pergeseran politik di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Dr Wan Azizah, ketika lawatan ahli keluarganya di Penjara Sungai Buloh minggu lalu, Anwar seperti lazim bertanyakan perkembangan masalah rakyat, soal ekonomi dan isu negara termasuk sengketa dua pimpinan Umno itu.
“Jumaat lepas saya dan keluarga pergi berjumpa Anwar selepas pemergian ayahandanya ke Rahmatullah. Dia masih lagi kuat, kental, selalu baca al-Quran dan mindanya cergas.
“Dalam pertemuan itu, dia banyak bertanya pasal Selangor, isu rakyat, ekonomi dan peristiwa-peristiwa paling mutakhir terutama yang berlaku antara mantan perdana menteri, Dr Mahathir dengan perdana menteri sekarang,” kata Dr Wan Azizah kepada portal milik PKR Keadilandaily.
Awal bulan ini, Dr Mahathir mengejutkan pemerhati politik negara apabila muncul ke upacara pengebumian bapa kepada Anwar, Datuk Ibrahim Abd Rahman.
Selain Dr Mahathir, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut hadir selain Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ini menguatkan spekulasi tentang kerjasama yang bakal wujud di antara Dr Mahathir dan bekas timbalannya Anwar untuk melawan Najib.
Dr Mahathir mengkritik hebat pentadbiran Najib dengan membangkitkan isu pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dr Mahathir turut mempersoalkan pentadbiran Najib yang menahan tiga pengarang dan eksekutif The Malaysian Insider dan The Edge Media Group baru-baru ini dan mengatakan Malaysia menuju menjadi sebuah negara polis.
sumber
No comments: