DAP hari ini menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menuntut jawapan daripada Kementerian Pendidikan berhubung pelbagai kepincangan projek 1BestariNet bernilai RM4.1 bilion.
Ahli Parlimen Bukit Bendera (DAP) Zairil Khir Johari berkata, ia susulan daripada pendengaran PAC dengan Kementerian Pendidikan yang berlangsung hari ini berhubung projek teknologi maklumat sepertimana dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013.
Katanya, PAC hari ini sepatutnya bertanya kepada kementerian mengenai keputusan menganugerahkan tender kepada YTL Communication Sdn Bhd yang hanya sebuah syarikat komunikasi berkapasiti kecil berbanding syarikat lain.
"Semasa projek ini dimulakan 5 tahun lalu, kementerian membuka tender bagi projek capaian tinggi Internet di sekolah, dan 19 syarikat daripadanya sememangnya mempunyai kapasiti dan lebih stabil dalam industri teknologi maklumat seperti Telekom Malaysia, Time dotCom, Maxis dan Celcom Axiata.
"Bagaimanapun YTL dikatakan dapat memenangi tender tersebut kerana idea mereka menawarkan Kaedah Pembelajaran Virtual (VLE) dan susulan itu kementerian terpaksa memperuntukkan RM250 juta bagi caj permit dan RM262.8 juta pengurusan serta penyelenggaraan termasuk bayaran memperbaharui kontrak setiap 2 setengah tahun," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
1Bestrani Net merupakan projek Kementerian Pendidikan yang menawarkan kemudahan capaian tertinggi Internet (4G) bagi 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk VLE.
Pada 10 November, 2014 Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata akan memanggil beberapa kementerian berhubung LKAN 2013 Siri 3 antaranya termasuk Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata LKAN mendapati projek 1Bestarinet yang bernilai RM663 juta mempunyai tahap penggunaan sangat rendah.
Laporan itu menyatakan penyambungan Internet ke 4,176 tapak pengguna lewat disiapkan, antara 12 ke 439 hari daripada tempoh pelaksanaan ditetapkan.
Selain itu, tiada lanjutan masa dilakukan dan kontraktor tidak dikenakan denda lewat berjumlah RM2.4 juta.
sumber
No comments: