» » 'Sirul Azhar mungkin dipengaruhi pihak tertentu untuk buat pendedahan'


Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengatakan tidak ada sebab bagi polis membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, walaupun tertuduh yang didapati bersalah, bekas komando Sirul Azhar Umar mengancam hendak "mendedahkan semuanya."

Ketua Polis Negara itu berkata Sirul yang kini di Australia mungkin bertindak demikian kerana dipengaruhi pihak tertentu atau ditekan supaya tampil membuat kenyataan yang tidak benar.

Katanya Sirul sebelum ini berpeluang menceritakan segalanya di mahkamah ketika perbicaraan, tetapi tidak melakukan sedemikian.

"Kenapa sekarang baru dia hendak dedahkan semuanya? Ini tidak logik," kata Khalid.

"Saya risau ada pihak berkepentingan yang cuba pengaruhinya supaya bercakap sesuatu yang tidak benar.

"Kita tengok apa yang dia hendak dedahkan," kata Khalid.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Malaysiakini semalam, memetik Sirul yang mengatakan dia menerima arahan untuk membunuh Altantuya.

"Mereka tahu dia di Australia, dan Australia tidak akan hantar dia balik kerana negara itu tidak mengiktiraf kerjasama dengan negara yang mengamalkan hukuman mati.

"Saya risau semua ini hanya demi kepentingan pihak tertentu. Bagaimanapun, saya percaya masyarakat akan menilainya."

Sirul juga berkata sedang mempertimbangkan "mendedahkan semua" berhubung kes pembunuhan ngeri yang berlaku 9 tahun lepas itu.

"Saya menerima arahan. Orang-orang penting dengan motif tertentu (untuk membunuh Altantuya) masih bebas," dia dilaporkan berkata.

Sirul memberitahu Malaysiakini, media Australia memintanya mendedahkan semuanya tetapi dia belum memutuskan hendak mengadakan temu bual bersama mereka walaupun sedang menimbangkan kemungkinan itu dengan serius.

Dia kini ditahan di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Interpol.

Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bulan lalu menghukum Sirul dan bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri ke tali gantung kerana membunuh Altantuya, membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013.

Walaupun disabitkan kesalahan, motif pembunuhan itu tidak pernah didedahkan.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .