» » Nafi ada ketua polis negeri disiasat atas kes rasuah


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan beberapa ketua polis negeri sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelakuan rasuah seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

"Apa yang saya sebut kepada pemberita semalam ialah semua pegawai kanan polis termasuk saya sendiri boleh disiasat oleh SPRM dan saya tidak pernah mengesahkan beberapa ketua polis negeri kini disiasat SPRM berkaitan kes rasuah," katanya.

Beliau berkata mungkin pemberita berkenaan salah faham tentang apa yang disampaikan.

"Dan diharap mereka segera membetulkan berita tersebut," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Balik Kampung Ops Selamat 6/2015 sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jalan Duta di Kuala Lumpur, semalam.

Khalid berkata sekiranya terdapat pelakuan rasuah membabitkan ketua polis negeri, beliau sendiri akan mengambil tindakan memandangkan golongan itu memikul tugas yang penting.

"Sekali lagi saya tegaskan sehingga hari ini belum terdapat kes rasuah melibatkan ketua polis negeri," katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata dua pelajar institusi pengajian tinggi yang ditahan semalam berikutan tindakan memuat naik risalah berbentuk poster berunsur provokasi di media sosial, kini direman selama empat hari bermula semalam.

Poster itu dikaitkan dengan bantahan terhadap sistem mahkamah di negara ini.

"Pelajar berusia 20-an itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan mereka akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948," katanya.

Beliau berkata siasatan setakat ini menunjukkan mereka tiada kaitan dengan satu klip video di YouTube yang dilihat sebagai cubaan menghasut orang ramai mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan di mahkamah negara ini.

"Negara kita ada undang-undang..ini bukan perkara main-main, mereka yang cuba menganjurkan perhimpunan dan perarakan atau apa-apa yang menyalahi undang-undang, akan dikenakan tindakan..kita tidak akan berdiam diri," katanya.

Mengenai Ops Selamat itu, Khalid berkata 85 kematian direkodkan sejak 12 Februari lepas. Operasi bertujuan mengurangkan kadar kemalangan serta indeks jenayah ketika musim perayaan itu, sehingga 26 Februari ini.

Menurutnya, tumpuan diberi kepada 60 lokasi kerap berlaku kemalangan maut di seluruh negara. Ia melibatkan negeri Johor, Perak, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat selain meminta bantuan jiran untuk memerhatikan rumah sepanjang ketiadaan mereka sewaktu perayaan itu.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .