Sewaktu perdebatan bagi harga barangan menjadi isu perkauman dengan seruan memboikot perniagaan tertentu, terdapat berita baik daripada pemborong sayuran – harga sayur berdaun akan turun minggu depan berbanding harga bulan lalu.
Menurut Persatuan Pemborong Sayur, sayur berdaun seperti kangkung, sawi, bayam dan bok choy (kubis Cina) akan turun serendah RM1 sekilogram pada minggu depan. Sebulan yang lalu, harganya naik sehingga RM8 sepaket, termasuk di pasar raya kawasan kediaman golongan kelas bekerja.
Tetapi kejatuhan harga sayuran tidak mungkin memuaskan hati mereka yang percaya harga bahan api yang rendah secara automatik bermakna bil barangan runcit yang lebih rendah, dan jika tidak, ia bermakna peniaga mengaut keuntungan.
Malah, perkara ini jauh lebih rumit daripada tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa orang Melayu memboikot peniaga Cina pada Ahad minggu lepas.
Beliau mencetuskan kontroversi selepas memuat naik kenyataan di laman Facebook berhubung harga barang yang tidak turun walaupun terdapat penurunan harga runcit petrol dan diesel.
Ismail menulis dalam posting, pengguna Melayu mempunyai peranan membantu kerajaan memerangi pengaut untung yang berlebihan dengan menggunakan kuasa kolektif mereka menurunkan harga barangan.
Setiausaha Persatuan Pemborong Sayur Chong Tek Keong berkata, kejatuhan harga sayuran selalunya disebabkan faktor cuaca.
Musim hujan yang berpanjangan menyebabkan hasil tuaian yang rendah dan harga naik. Apabila cuaca kembali baik, semua pekebun sayur seluruh negara menuai tanaman mereka sekali gus dan kini terdapat lebihan bekalan.
Ini menunjukkan, terdapat banyak faktor lain yang lebih kompleks dalam menentukan harga barang daripada sekadar harga minyak, dan harga barang yang tinggi tidak boleh semata-mata disalahkan kepada sesuatu kaum atau aktiviti mengaut keuntungan berlebihan.
Gabungan beberapa faktor
Perdebatan mengenai sama ada harga minyak yang rendah akan baik untuk negara ini bermula lewat tahun lalu apabila harganya dilihat mula jatuh daripada AS$60 setong pada November.
Namun, pada waktu itu pun, salah satu pemikir ekonomi negara, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, berkata sukar untuk meramalkan sama ada harga bahan api yang rendah akan mendatangkan faedah secara keseluruhannya.
Ini kerana terdapat faktor lain dalam rantaian pengeluaran yang memberi kesan kepada pengguna yang akhirnya membayar harga di kaunter.
Salah satu faktor utama yang datang bersama harga minyak yang rendah ialah nilai ringgit yang lemah, bermakna pengeluar dan pembekal perlu membayar lebih untuk bahan mentah dan barangan yang diimport.
Setakat Jumaat, ringgit meningkat sedikit kepada RM3.55 berbanding dolar AS. Beberapa minggu yang lalu, ia jatuh kepada lebih kurang RM3.60 kepada mata wang Amerika itu, yang paling rendah tercatat dalam tempoh enam tahun.
Bagi Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selvaraj (gambar, kanan), nilai ringgit ialah faktor besar dalam menentukan berapa banyak pembeli berbelanja di kedai.
"Kebanyakan makanan kita diimport. Saya tanya seorang peruncit, berapa barangannya yang diimport? Dia ketawa dan berkata, berapa banyak lagi barang tempatan yang tinggal?" kata Selvaraj, sewaktu menerangkan salah satu kajian Fomca di kalangan peruncit.
"Kos import ialah faktor yang besar. Apa yang peruncit peroleh hari ini daripada pengimport akan terus dibawa ke rak," katanya.
Chong daripada persatuan pemborong sayur itu menganggarkan 30% daripada hasil negara perlu diimport dan jumlah itu meningkat setiap tahun.
Dalam satu e-mel ringkas, Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) berkata, kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kos bahan mentah seperti pepejal susu dan daging naik mendadak.
Satu faktor lagi ialah harga elektrik, yang tidak turun walaupun harga bahan api bagi penjanaan kuasa – gas asli, gas asli cecair (LNG) dan arang batu – jatuh.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata, apabila Tenaga Nasional Berhad menaikkan tarif sebanyak 15% pada Januari tahun lepas, harga gas asli ialah RM13.70 hingga RM15.20 setiap MMBtu, arang batu AS$85-87.5 satu tan dan LNG RM41.68/MMBtu.
Beliau berkata, harga arang batu turun kepada AS$67 satu tan manakala harga gas dan LNG turun selari dengan harga minyak mentah.
Kemudian, terdapat juga keadaan pasaran tidak sama rata, seperti monopoli atas barang atau bahan tertentu.
Sekatan mengimport boleh mewujudkan monopoli, kata Selvaraj. Ini boleh menjurus kepada penetapan harga di kalangan mereka yang terlibat dalam monopoli itu.
Menurut laman web Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI), terdapat lebih daripada 30 barangan yang memerlukan lesen import.
Ia termasuk, beras, gula, tepung gandum, susu, keluli dan besi produk, kereta, motosikal, jentera pembinaan dan topi keledar.
Laman web MITI menyatakan beberapa sebab mengapa bahan tersebut memerlukan permit. Ia termasuk keperluan melindungi kepentingan pengeluar tempatan, kesihatan awam dan tumbuhan tempatan.
"Para peruncit mengatakan mereka boleh menawarkan harga yang lebih murah jika terdapat lebih banyak kebebasan untuk membawa masuk barang-barang," kata Selvaraj.
Beliau berpendapat kerajaan perlu mewujudkan pasaran yang lebih bebas dan terbuka bagi menggalakkan persaingan.
"Lebih banyak persaingan akan membuatkan usahawan bekerja lebih keras dalam membawa masuk produk yang lebih murah bagi menarik lebih ramai pengguna."
Minyak masih main peranan penting
Namun, walaupun hakikatnya rantaian bekalan pengeluaran ditentukan pelbagai faktor, kesan harga bahan api yang rendah tidak boleh diabaikan.
Selvaraj berkata petrol masih dianggap pengganda yang tinggi, apabila mengira indeks harga pengguna, satu metrik yang digunakan bagi mengukur inflasi.
"Ia satu komponen penting. Kami rasa penurunan harga bahan api mewajarkan penurunan harga barang secara umum. Peniaga selalu menggunakan alasan harga bahan api yang tinggi untuk menaikkan harga barang."
Apabila tidak ramai pengeluar menurunkan harga barang susulan kejatuhan kos bahan api, ia menimbulkan syak yang mereka mengaut untung.
Ini dapat dilihat daripada kenyataan kebanyakan kumpulan yang menyokong Ismail mendesak orang Melayu memboikot perniagaan Cina.
Dalam laporan 4 Februari di Utusan Online, sebahagian mereka mendakwa, harga barang semakin meningkat walaupun harga semasa petrol kini RM1.70 seliter.
Seorang ahli Perkasa, Irwan Fahmi Ideris, mendakwa harga "kopi O ais" lebih mahal daripada harga satu liter petrol.
Diminta mengulas dakwaan peniaga mengaut untung secara berlebihan, FMM, yang anggotanya termasuk pengeluar makanan dan barangan pengguna, memberitahu The Malaysian Insider: "Terdapat banyak elemen/pemboleh ubah yang memberi kesan kepada kenaikan/pengurangan harga barang perkilangan.
"Keseluruhan rantaian bekalan perlu diambil kira, daripada kos bahan mentah, tenaga, logistik, pembungkusan, pembiayaan hingga ke kadar pertukaran mata wang asing.
"Bagaimanapun, ahli kami akan sentiasa lihat dari semua sudut dalam menguruskan kos bagi mendapatkan pengeluaran optimum dan meningkatkan produktiviti dan kami komited memindahkan penjimatan kos kepada pelanggan melalui pengurangan harga di mana ia boleh dilaksanakan."
No comments: