» » 'Fakir miskin di Selangor‎ dijangka meningkat selepas pelaksanaan GST'


Selaras dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjangkakan cukai itu sedikit sebanyak menjadi salah satu faktor pertambahan golongan fakir miskin di Selangor pada tahun ini, kata Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Pengerusi Mais itu berkata, disebabkan cabaran ekonomi yang tidak menentu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) meletakkan sasaran kutipan dan agihan zakat sebanyak RM615 juta, berbanding sasaran sebanyak RM560 juta pada tahun 2014.

"Dalam tahun 2015 ini, kita berharap terdapat peningkatan yang banyak daripada segi jumlah asnaf fakir miskin disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan ini berlaku setiap tahun, begitu juga daripada segi kutipan.

"Walau apa pun cabaran yang dihadapi daripada segi ekonomi, GST misalnya, kita meletakkan sasaran yang tinggi," katanya pada sidang media di pejabat LZS di Shah Alam, hari ini.

Katanya, antara faktor lain peningkatan jumlah sasaran kutipan zakat adalah kerana kesedaran tinggi di kalangan pembayar zakat dan potensi mengeluarkan zakat di kalangan mereka yang layak mengeluarkannya.

Adzib berkata, ekoran pelaksanaan GST pada April ini juga, LZS akan melaksanakan kajian kadar 'Haddul Kifayah', bertujuan untuk menyemak semula kadar keperluan asasi seiring dengan peningkatan taraf hidup.

"Satu kajian kadar kecukupan bantuan agihan akan turut dilaksanakan agar ia sesuai dengan keperluan semasa," katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan fakir dan miskin pada 2014 adalah seramai 43,661 keluarga.

Daripada jumlah itu, bilangan asnaf fakir yang menerima bantuan adalah seramai 13,613 keluarga, meningkat berbanding 10,179 keluarga pada 2013.

Manakala bagi asnaf miskin, seramai 30,048 keluarga diberikan zakat berbanding 20,771 keluarga pada tahun sebelumnya.

Mengenai kutipan zakat 2014, Adzib berkata LZS mengutip sebanyak RM582.1 juta, meningkat 13% berbanding kutipan RM517.3 juta pada 2013.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM561.6 juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM20.6 juta daripada zakat fitrah," katanya.

Jumlah pengeluar zakat harta bagi 2014 pula adalah seramai 263,411 orang, meningkat 11% berbanding tahun sebelumnya.

Manakala bagi agihan wang zakat, sebanyak RM595.1 juta diagihkan kepada asnaf pada 2014, meningkat sebanyak 28% berbanding tahun sebelumnya.

Adzib mengakui jumlah peningkatan agihan zakat itu disebabkan meningkatnya golongan fakir miskin di Selangor.

"Ya memang betul, biasanya fakir kurang. Kali ini fakir dan miskin bertambah.

"Dulu fakir mungkin dah berkurang, dia jadi miskin bertambah.

"Tapi sekarang ini ada lagi (fakir). Tahun ini kita tak tahu," katanya.

Ditanya trend peningkatan tersebut, Adzib berkata antara faktornya adalah keberkesanan sistem siasatan LZS mengenal pasti golongan tersebut termasuk membuka kaunter mini yang diwujudkan di setiap daerah bagi memudahkan lagi masyarakat membuat aduan.

Pada masa sama, Adzib turut memperkenalkan portal baru LZS, www.zakatselangor.com.my, yang mempunyai aplikasi telefon pintar bagi membolehkan masyarakat menyalurkan maklumat individu atau keluarga yang susah dan memerlukan bantuan LZS.

"Kita harap dapat meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran betapa pentingnya membayar zakat bagi yang wajib dan saya percaya ia dapat bantu orang miskin fakir dan juga orang Islam di negeri Selangor.

"Sekurang-kurangnya orang Islam di Selangor tidak terbiar dengan adanya peruntukan zakat disamping membantu orang yang memerlukan," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .