» » Media sosial saingan hebat media konvensional


Agensi berita harus memanfaatkan platform media sosial dalam penyebaran berita dan maklumat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata media sosial memberikan saingan hebat kepada rangkaian media konvensional termasuk agensi-agensi berita.

"Kepantasan luar biasa berita dan maklumat bergerak melalui media sosial dalam penyebaran dan kuasa kewartawanan rakyat tidak harus dipandang ringan.

"Kita harus memanfaatkan platform media sosial dan bergerak ke hadapan kerana lebih ramai orang akan menggunakan media sosial untuk mendapatkan berita dan maklumat," kata beliau pada majlis jamuan malam bagi meraikan delegasi Mesyuarat ke-38, Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-agensi Berita Pasifik (OANA) di Kuala Lumpur.

Mesyuarat yang berlangsung di sini dihoskan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Turut hadir ialah Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang, Datuk Zakaria Abd Wahab dan Setiausaha Agung OANA, Mikhail Gusman.

Ahmad Shabery berkata banyak kekangan dan cabaran menanti agensi berita ketika cuba bersaing secara sama rata dengan media sosial termasuk sumber untuk dipadankan dengan aspek kewartawanan rakyat, ciri-ciri semula jadi media sosial.

"Yang kedua, ada keperluan untuk merevolusikan cara kita menyebarkan maklumat memandangkan generasi muda di penjuru lain tidak membaca lebih daripada 140 huruf, dan ketiga sama ada kita boleh mendapat manfaat daripada usaha media sosial kita kerana ini juga sama penting untuk kelangsungan hidup kita," kata beliau.

Oleh itu, beliau berkata, agensi berita boleh menambah baik dengan mencontohi media sosial untuk kepantasan dan pada masa yang sama mengekalkan tradisi agensi dalam memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan.

Menyentuh mengenai peranan OANA, Ahmad Shabery berkata pertubuhan itu menyediakan platform penting bagi agensi-agensi berita yang menjadi anggotanya untuk bekerjasama demi faedah bersama terutama dalam dunia tanpa sempadan hari ini.

Beliau berkata OANA, yang terdiri daripada 44 agensi berita dari 35 negara, telah muncul sebagai organisasi media terbesar di dunia dan platform utama untuk pertukaran maklumat secara terus dan bebas di rantau Asia Pasifik.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .