Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, komuniti Cina bukan sahaja menyokong, malah memberikan sokongan penuh sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk dua pertiga majoriti Parlimen walaupun berlaku insiden "mata lebam" kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Pilihan Raya Umum 1999.
Bekas perdana menteri itu berkata, masyarakat Cina di negara ini ketika itu menyokongnya kerana berjaya memulihkan ekonomi selepas krisis ekonomi, walaupun pengundi Melayu menolak BN kerana memenjarakan Anwar.
"Saya hilang 300,000 undi Melayu dalam pilihan raya 1999 disebabkan insiden mata lebam, tetapi Cina membantu saya mendapatkan majoriti dua pertiga Parlimen," katanya kepada pemberita selepas forum anjuran Centre For A Better Tomorrow bertajuk "Malaysian Dilemma" di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir berkata, kaum Melayu pada ketika itu menganggap beliau sebagai diktator kerana memenjarakan Anwar, namun komuniti Cina yang terselamat daripada diisytiharkan bankrap ketika krisis ekonomi menyokong beliau.
"Pada masa itu berlaku insiden mata lebam dan orang ramai simpati kepadanya," katanya, merujuk kepada Anwar.
"Ada seorang perempuan Melayu, saya teringat, penyokong kuat Umno, dia kata tidak akan sokong Umno lagi," katanya dan menambah, tanpa sokongan pengundi Cina, beliau tidak akan mampu memperoleh dua pertiga majoriti Parlimen.
sumber
No comments: