» » 'Shahidan perlu damaikan budak suruhan Najib Razak dahulu'


Wartawan veteran Datuk Kadir Jasin menggesa Datuk Seri Shahidan Kassim supaya mendamaikan orang suruhan kem bosnya Datuk Seri Najib Razak terlebih dahulu yang menyerang dua "Tun" baru-baru ini.

Kadir memuji langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menawarkan diri menjadi orang tengah dalam krisis antara Najib dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin, bagaimanapun bersikap sinis ke atas usaha itu.

"Sayogia diingatkan yang sebenarnya membelasah, mempertikai dan mengecil-ngecilkan teguran Dr Mahathir serta Tun Daim Zainuddin adalah orang suruhan Najib, termasuk media arus perdana milik Umno.

"Jadi apa yang hendak didamaikan Shahidan? Yang buat hal dan perlu didamaikan jiwanya adalah Najib dan budak-budak suruhannya yang bersekongkol dengan pembangkang bagi membelasah Dr Mahathir, Daim serta pihak-pihak lain yang tidak bersetuju atau menegur mereka," kata Kadir dalam tulisan di blognya the Scribe A Kadir Jasin hari ini.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu mencabar Shahidan menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan segala serangan dari kem Najib jika berani.

"Kalau Shahidan berani dan berpengaruh, mereka inilah yang perlu beliau jinakkan supaya tidak menjadi batu api yang membakar perhubungan Najib dengan pelindung-pelindung politik beliau seperti Dr Mahathir dan Daim," katanya.

Mengenai usaha Shahidan, Kadir mempersoalkan sama ada anak didik Dr Mahathir itu mampu meyakinkan bekas bosnya dalam isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kewangan negara dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan Amerika.

"Tetapi adakah mampu beliau meyakinkan Dr Mahathir dan Daim segala-galanya dalam keadaan 'A-okay' mengenai isu-isu seperti 1MDB, kewangan negara dan rundingan perjanjian perkongsian trans-Pasifik (TPPA) dengan Amerika?"

Menurut Kadir, teguran "kedua-dua Tun" tersebut bukan kerana benci kepada Najib tetapi sebagai nasihat agar Umno tidak kalah dalam pilihan raya umum akan datang nanti.

"Dr Mahathir dan Daim menegur dan mengkritik Najib bukan kerana mereka benci kepada beliau jauh sekali mengidamkan kedudukan beliau sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

"Teguran dan kritikan mereka bertujuan memperkukuhkan Umno dan kerajaan agar tidak kalah dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Perang proksi antara kem Najib dan Dr Mahathir bermula apabila media arus perdana menyerang bekas menteri kewangan Daim dengan tuduhan rasuah dan memberikan liputan meluas kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anwar yang mendakwa mempunyai 'bukti' penyalahgunaan kuasa Daim berharap SPRM tidak hanya menyasarkan kepada siasatan perniagaan perbankan Daim semata-mata.

Pada 15 tahun lepas, Anwar membuat laporan yang menuduh Daim mengaut berbilion ringgit melalui Bank Africa dan Eropah Timur menggunakan proksi.

Susulan kenyataan Anwar, Kadir mendakwa serangan terhadap Daim melalui media arus perdana yang selama ini dikawal Umno, atas arahan Najib.

Beliau memberi amaran yang tindakan tersebut hanya akan menyebabkan Dr Mahathir atau Daim mendedahkan perkara lebih "menggiurkan" mengenai Najib.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .