Di saat harga minyak global semakin jatuh, lebih rendah daripada apa yang Putrajaya kira untuk semakan Bajet 2015, ahli ekonomi mempunyai pandangan berbeza bagaimana hal ini akan memberi kesan kepada akaun semasa negara dan ekonomi tempatan.
Sesetengah ahli ekonomi memberi amaran ia boleh meninggalkan kesan negatif kepada akaun semasa negara ini dan kesan merbahaya kepada ekonomi. Yang lain bagaimanapun, tidak percaya imbangan akaun semasa terancam dan berhujah ringgit yang lemah akan memacu eksport dan mengurangkan import.
Seperti lebihan dagangan di mana eksport adalah lebih tinggi daripada import akan menyebabkan lebihan akaun semasa, kata Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST).
Bagaimanapun, Tan Sri Kamal Salih , profesor adjung Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya berkata, jika harga minyak jatuh di bawah AS$40 setong ia boleh menjejaskan hasil kerajaan dan seterusnya memberi kesan kepada akaun semasa negara.
Kamal berkata, defisit akaun semasa adalah berbahaya kerana menyebabkan rizab mata wang asing negara semakin berkurangan, tahap hutang yang tinggi dan ringgit yang lemah.
"Kita boleh mengatasi situasi kritikal ini jika harga minyak turun di bawah AS$40 setong sebagaimana diramalkan beberapa penganalisis," kata Kamal.
Reuters melaporkan sehari selepas Bajet 2015 disemak pada 20 Januari, menekankan kebimbangan akaun semasa negara kepada defisit.
Defisit akaun semasa, kata laporan itu akan menakutkan pelabur dengan tahap hutang yang tinggi bagi kerajaan, isi rumah dan akaun modal di negara ini.
Kamal berkata untuk mengelakkan ini, Putrajaya harus mempertimbangkan potongan 10% perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan bagi mengatasi penurunan seterusnya dalam hasil minyak.
Kamal adalah pakar terbaru yang menggesa Putrajaya untuk melakukan potongan perbelanjaan operasi yang lebih serius bagi mempunyai wang mencukupi untuk mengemudi negara ini melalui ekonomi yang sukar tahun ini.
Putrajaya menyatakan dalam pengumuman semakan Bajet 2015 yang ia yakin akaun semasa Malaysia akan kekal dalam lebihan.
Putrajaya juga mengumumkan penurunan sebanyak RM5.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus kerajaan daripada RM273.9 bilion. Kerajaan juga dijangka mengalami kekurangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.
Pendapatan minyak adalah sehingga 30% daripada pendapatan kerajaan.
Peruntukan bajet yang disemak semula adalah berdasarkan kepada andaian harga minyak adalah pada kadar purata sekitar AS$55 setong sepanjang 2015.
Pada hari yang sama, harga minyak turun kepada AS$48 setong. Semakan pada laman web perniagaan Bloomberg menunjukkan minyak diniagakan di bawah AS $50 setong semalam (Jumaat).
Menurut laman web kewangan Investopedia, akaun semasa negara adalah perbezaan di antara simpanan dan pelaburan.
Ia ditakrifkan sebagai jumlah imbangan perdagangan (barangan dan perkhidmatan eksport tolak import), pendapatan bersih dari luar negara dan pindahan semasa bersih.
Akaun semasa merupakan petunjuk penting kemakmuran ekonomi, menurut Investopedia.
Imbangan perdagangan pada umumnya adalah penentu terbesar lebihan akaun semasa atau defisit.
Dr Yeah berkata, kebimbangan akaun semasa menjadi defisit sengaja "diperbesar-besarkan", kerana Malaysia secara tradisionalnya mengeksport lebih banyak barangan berbanding mengimport.
Sebagai contoh, pada separuh pertama 2014, eksport yang lebih tinggi daripada import menjadikan Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM63.7 bilion.
Ringgit lemah dan dolar yang lebih kukuh akan meningkatkan eksport manakala syarikat-syarikat tempatan mungkin akan menangguhkan import, kata Yeah yang juga dekan Sekolah Perniagaan MUST.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan mungkin terdapat satu atau dua bulan apabila import boleh lebih tinggi daripada eksport dan ini boleh menurunkan lebihan akaun semasa.
"Sebagai contoh, jika bahan-bahan binaan dan jentera untuk projek MRT dapat diimport pada masa yang sama, ia akan membuat ia kelihatan seolah-olah dalam satu bulan, terdapat lebih import.
"Tetapi secara purata kita akan menyaksikan lebihan dalam akaun semasa," kata Yeah.
Laporan Reuters pada 21 Januari berkata, lebihan akaun semasa mengecil sebanyak hampir satu pertiga kepada RM7.6bilion antara suku pertama dan ketiga 2014, dan prospek defisit pula melonjak kerana kejatuhan pendapatan minyak dan eksport gas.
Defisit akaun semasa akan memberikan amaran ekonomi yang mempunyai hutang dalam semua bidang: kerajaan, isi rumah dan akaun modal, kata laporan itu.
Kerajaan menanggung hutang sebanyak 53% daripada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) manakala hutang isi rumah Malaysia adalah kira-kira 86% daripada KDNK.
Defisit akaun semasa akan menyebabkan pelabur asing, yang memiliki 44% daripada pasaran bon mencari jalan keluar, kata laporan Reuters.
Mengulas mengenai laporan Reuters itu, Kamal berkata ia adalah "amaran adil" apa yang boleh berlaku kepada Malaysia tahun ini.
"Ia adalah satu amaran bagi kita untuk menyediakan apa yang mungkin boleh berlaku."
Kamal juga mencadangkan agar kerajaan mengurangkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan pada bulan April supaya rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan.
Ini akan menggalakkan perbelanjaan yang kemudiannya boleh dikenakan cukai untuk menambah pendapatan kerajaan yang jatuh disebabkan harga minyak, katanya.
Pada masa yang sama, GST yang lebih rendah akan membantu pengguna menangani hakikat yang harga barangan tidak berkurangan walaupun harga minyak jatuh.
"Memandangkan kita tidak mampu mengawal harga, kita boleh menyesuaikan jumlah pendapatan boleh guna yang dimiliki rakyat," kata Kamal.
sumber
No comments: