Putrajaya perlu meminda had pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi mengelak peniaga kecil terbeban dengan pelaksanaan cukai tersebut, kata DAP.
Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata tidak adil menjangkakan semua perniagaan dengan transaksi harian melebihi RM1,600 untuk berdaftar dengan GST seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.
“Pelaksanaan GST memberi kesan kepada peniaga kecil kerana had RM500,000 transaksi tahunan sangat rendah.
“Perlu dijelaskan transaksi tidak bermaksud pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tarikh akhir mendaftar GST berakhir pada 31 Disember lepas dan peniaga yang gagal mendaftar akan diberikan notis 14 hari untuk mendaftar atau dikenakan denda.
“Jumlah denda akan meningkat apabila tarikh pelaksanaannya semakin hampir,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad dalam satu kenyataan berkata denda di antara RM100 sehari untuk mereka yang berdaftar di antara 1 dan 20 Januari manakala RM150 sehari bagi mereka yang mendaftar di antara 21 Januari hingga 9 Februari dengan kadar lebih tinggi jika kelewatan lebih lama.
“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut mengarahkan Jabatan Kastam tidak melaksanakan hukuman berkenaan sebaliknya melakukan pendidikan.
“Banyak perniagaan kecil yang terpaksa membayar denda tinggi ekoran pelaksanaan tergesa-gesa kerajaan tanpa menyediakan masa yang cukup untuk mendaftar, taklimat dan persediaan,” kata Liew.
Beliau berkata beberapa bulan diperlukan untuk peniaga mendaftar, melatih pekerja, dan menukar perisian yang patuh GST.
Katanya, peniaga juga perlu menukar dokumen kewangan kepada invois cukai, menukar akaun cukai daripada tahunan kepada suku tahun dan menstruktur semula harga.
sumber
No comments: