» » Rozana Diminta Kemukakan Bukti Pernikahannya Tidak Didaftarkan


Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu mengarahkan isteri kepada penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun mengemukakan akuan bersumpah sebagai bukti berhubung dakwaannya mengatakan perkahwinan mereka tidak didaftarkan di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain menetapkan tarikh 26 November ini untuk Rozana menyerahkan akuan bersumpah berhubung perkara itu daripada pegawai jabatan agama berkenaan.

"Apabila pihak Rozana menyatakan tiada sebarang pendaftaran pernikahan dibuat, maka kenyataan secara sumpah daripada pegawai terbabit perlu dibuat bagi mengesahkan kedudukan tersebut.

"Sekiranya pihak lain (Awie) berhasrat membuat soal balas, maka sepina akan dikeluarkan. Barulah ia boleh dijadikan rujukan. Saya tidak mahu kes ini menimbulkan perkara yang tidak tepat," hujahnya.

Dakwaan bahawa perkahwinan itu tidak pernah didaftarkan muncul selepas Rozana meragui permohonan Awie yang turut melampirkan bersama surat nikah mereka ketika mengemukakan permohonan hak jagaaan anak (hadanah) secara ex-parte.

Rozana seterusnya menyiasat perkara itu sebelum pihak JAIPP mengeluarkan surat menyatakan tiada pendaftaran dibuat oleh Awie berhubung pernikahan mereka.

Mahkamah menetapkan 26 November depan untuk Rozana memasukkan afidavit berhubung akuan bersumpah tersebut, manakala 18 Disember untuk pihak Awie melakukan soal balas.

Sementara itu, bagi kes hak jagaan anak, pihak mahkamah menetapkan tarikh 27 November untuk pendengaran permohonan itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tragedi Oktober itu turut hadir bersama wakil peguamnya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain.


Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, dan Rozana, 36, dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005 dan memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Penyanyi itu turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

Terdahulu pada 18 September lalu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengarahkan Awie membayar kos guaman sebanyak RM900 kepada Rozana selepas bantahannya berhubung permohonan Rozana bagi mengenepikan perintah hak jagaan anak secara sebelah pihak yang diperolehnya ditolak.

Dalam kejadian lain Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun 2013.

Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .