PKR hari ini menyelar Putrajaya yang didakwanya cuba menghapuskan subsidi petrol dan diesel tanpa disedari rakyat.
Ini kerana, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, pembelian minyak di negara ini bergantung kepada harga pasaran minyak dunia yang kini semakin menjunam turun akibat lambakan pengeluar minyak di Arab Saudi.
Beliau berkata, sekiranya harga pasaran minyak semakin murah, Malaysia tidak perlu membayar subsidi yang kini ditanggung kerajaan sebanyak 0.14 sen seliter.
"Ramalan harga minyak mentah sekitar AS$70 hingga AS$80 adalah begitu penting untuk rakyat Malaysia.
"Analisa saya menunjukkan, pada harga pasaran sekarang – RM2.30 seliter bagi petrol dan RM2.20 seliter bagi diesel – kerajaan persekutuan tidak lagi perlu membayar sebarang subsidi petrol dan diesel sekiranya harga minyak mentah di pasaran dunia jatuh di paras AS$73 setong," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Oleh itu, beliau yang juga Setiausaha Agung PKR itu menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan adakah beliau mahu menghapuskan subsidi tanpa menurunkan harga petrol.
"Kalau sudah mencecah AS$73, tetapi kerajaan masih enggan menurunkan harga... ini bermaksud ada satu perubahan yang besar dalam negara kita, kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, kerajaan berhenti membayar subsidi kepada rakyat," katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata Arab Saudi dilihat meningkatkan dominasi pasaran berbanding pengeluar lain dengan menawarkan diskaun kepada syarikat penapis minyak di Amerika Syarikat.
Ini katanya sekaligus menyebabkan harga minyak mentah pasaran dunia kekal rendah.
“Dalam keadaan harga minyak mentah dunia terus jatuh dan tindakan Arab Saudi yang dijangka akan cuba mengekalkan harga minyak pada harga rendah, Najib perlu jawab kepada rakyat," katanya.
Awal September lalu, Najib mengumumkan pengurangan subsidi menyaksikan kenaikan harga petrol dan diesel masing-masing naik sebanyak 20 sen seliter.
sumber
No comments: