» » 'Lembaga Pengarah Felcra beri bonus untuk diri sendiri'


Apa harga yang perlu dibayar jika kerja dilakukan dengan baik? Bagi ahli lembaga pengarah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Bhd, mereka dibayar kira-kira RM700,000 dalam bentuk bonus tunai dan barangan, iaitu beberapa ekor lembu.

Lembaga pengarah agensi tanah Putrajaya itu mengabaikan perintah Perbendaharaan selama tiga tahun apabila memberikan diri mereka bonus, walaupun pegawai Kementerian Kewangan
berada dalam lembaga itu dan memimpin jawatankuasa audit.

Tadbir urus yang lemah dan sengaja tidak mematuhi arahan Perbendaharaan disedari minggu ini melalui pendengaran di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), yang mendorong kepada gesaan agar siasatan lanjut dibuat atas kemungkinan pecah amanah.

Terdapat juga cadangan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat masalah ini, dan melihat ke dalam agensi kerajaan yang lain yang menyediakan bonus untuk ahli lembaga pengarah mereka.

"Felcra Bhd adalah sebuah syarikat dan mereka hanya boleh memberi ganjaran kepada diri sendiri jika mendapatkan kelulusan daripada para pemegang saham di mesyuarat agung tahunan. Perbendaharaan sebagai pemegang saham tidak pernah memberi kelulusan, tetapi mereka teruskan juga.

"Yang lebih teruk lagi, seorang pegawai Kementerian Kewangan berada dalam Lembaga Pengarah dan ketua jawatankuasa audit. Dia sepatutnya tahu perkara ini," kata satu sumber kerajaan kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan ahli lembaga pengarah Felcra Bhd menerima ganjaran RM20,000 bagi setiap pengarah dan RM30,000 untuk pengerusi pada tahun 2010, yang ketika itu Datuk Tajuddin Abdul Rahman, timbalan menteri luar bandar dan industri asas tani sekarang.

Jumlah itu kemudiannya dinaikkan ke RM30,000 bagi setiap pengarah dan RM50,000 bagi pengerusi untuk dua tahun akan datang. Lembu pula diberikan sebagai pembayaran dalam bentuk benda untuk dijadikan korban pada Hari Raya Haji sekali antara tahun 2010 dan 2012.

Juga difahamkan, wakil-wakil kerajaan dalam lembaga pengarah Felcra Bhd tidak perlu memulangkan wang kepada kerajaan walaupun pelantikan mereka adalah kerana tugas mereka, dan bukan kerana kepakaran.

"SPRM harus melihat perkara ini kerana ini penyalahgunaan kuasa dan suapan untuk diri sendiri," kata satu sumber PAC kepada The Malaysian Insider.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata minggu ini lembaga pengarah Felcra Bhd hanya meminta persetujuan untuk memberikan bonus itu setelah wang itu diedarkan.

Beliau juga berkata, Kementerian Kewangan menolak permohonan Felcra bagi pembayaran bonus untuk tahun 2008, tetapi Felcra meneruskan pembayaran bonus itu.

Beliau juga berkata PAC tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Felcra Bhd dan mahukan agensi itu menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk penyiasatan lebih lanjut.

Nur Jazlan berkata Pengerusi Felcra yang baru Datuk Bung Mukhtar Radin menawarkan kerjasama dengan PAC mengenai perkara itu.

Menurut Felcra Bhd, "saguhati" itu diberikan untuk kerja yang "sangat baik" tetapi Kementerian Kewangan tidak pernah menyetujui transaksi itu. Felcra membayar RM133,333 (pada tahun 2010), RM257,500 (tahun 2011) danRM332,500 (pada tahun 2012).

Felcra yang pada asasnya terlibat dalam perladangan getah dan kelapa sawit, mengumumkan April lalu ia akan mempelbagaikan kegiatan dengan membesarkan perniagaan lembu dengan menyertai sebuah konsortium membeli stesen lembu Yakka Munga di Australia Barat seluas 189.700 hektar yang bernilai AU$22 juta.

Selain daripada Felcra, konsortium itu juga termasuk penanam jagung Australia, Grain Synergy Global Pty Ltd, Pembangunan Industri Halal (HDC), dan dari Indonesia, PD Dharmajaya dan PT Agro Jabar.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .