Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Putrajaya tidak berkuasa menghalang kenaikan harga rumah kerana Malaysia mengamalkan ekonomi pasaran bebas.
Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun mampu bertindak melalui pemberian insentif kepada pembeli bagi mengurangkan kos pembelian harga rumah.
"Ini negara bebas, kerajaan tidak mempunyai kuasa menentukan pasaran harga. Kita boleh membantu mengurangkan harga rumah dengan insentif.
"Isu fenomena kenaikan harga rumah bukan hanya di Malaysia, tetapi di seluruh dunia, tetapi kerajaan kita respon dengan mewujudkan banyak program seperti PR1MA," katanya, merujuk kepada salah satu program pemilikan rumah dilaksanakan kerajaan, Perumahan Rakyat 1 Malaysia.
Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, kajian menunjukkan harga rumah hanya meningkat antara 2% hingga 3% sebaik saja pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015.
"Kalau lebih 3% mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencatutan," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya kenaikan harga rumah melebihi 3% dikenakan pemaju, dan menggunakan alasan GST, mereka boleh dilaporkan kepada Jawatankuasa Pemantauan Harga GST.
"Saya risau harga itu dinaikkan bukan kerana GST tetapi mahu keuntungan lebih. Ikut perkiraan kita, hanya kira-kira 3% yang boleh dinaikkan.
"Kalau lebih itu fenomena di luar GST, kalau harga itu naik mendadak, laporkan kepada Jawatankuasa Pemantauan Harga GST Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“Kita boleh uruskan daripada segi itu,” katanya.
Rahman berkata, beliau turut memohon kerajaan negeri bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan seperti PR1MA bagi membolehkan mereka membangunkan rumah mampu milik di negeri tersebut.
"Hasrat kami untuk memberikan pandangan kepada kerajaan negeri supaya memberikan tapak tanah sesuai kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN), Suruhanjaya Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan PR1MA, agar rumah mampu milik ini dapat dibina di kawasan tertentu.
"Kalau kerajaan negeri tidak mempunyai keazaman politik memberikan tanah kepada kami, kami tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.
Beliau turut mengakui, cabaran terbesar kementerian itu adalah mendapatkan tanah yang sesuai daripada kerajaan negeri bagi pembinaan projek perumahan mampu milik untuk rakyat.
"Cabaran besar kami adalah untuk mendapatkan tanah kerajaan di negeri-negeri,” katanya.
Malah, beliau turut meminta agar kerajaan negeri tidak melakukan perebutan dengan kerajaan pusat berhubung senarai nama bakal penghuni kediaman mampu milik tersebut.
Ini kerana, ia akan menyukarkan proses pemberian rumah sehingga memakasa sesetengah individu terpaksa menanti bertahun-tahun lamanya sebelum dapat menduduki sesebuah kediaman mampu milik.
"Saya minta negeri tidak banyak perebutan, kadang-kadang projek perumahan yang kita buat ada kerajaan negeri berebut berikan senarai.
"Ada negeri tidak mahu guna senarai kerajaan pusat dan ini menimbulkan masalah pertindihan, ada masalah hingga bertahun-tahun kerana mahu memilih penghuni rumah ini," katanya.
Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin sebelum ini membidas usaha Putrajaya ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi sehingga mengabaikan kedudukan ekonomi majoriti rakyat.
Beliau mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bercita-cita mahu menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi tetapi dalam masa sama, rakyatnya masih tidak mampu memiliki sebuah rumah sendiri.
"Tidak ada maknanya kerajaan mendabik dada mengatakan kita sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi jika masih ramai rakyat tidak mampu memiliki sebuah rumah biasa," katanya hari ini.
Lebih membimbangkan Daim adalah hartanah kini sukar untuk dimiliki khususnya mereka yang berumur bawah 40 tahun kerana nilai yang melambung naik akibat spekulasi.
"Hak milik hartanah antara yang membimbangkan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya mereka di bawah umur 40 tahun, berdepan kesukaran memiliki aset penting ini.
"Perumahan menjadi kelas aset kewangan, malah ia menjadi alat spekulasi daripada menjadi tempat untuk kita tinggal," katanya.
Daim menegaskan rakyat Malaysia masih tidak mencapai tahap pendapatan yang baik dan ramai yang masih berpendapatan di bawah tahap kemiskinan.
sumber
No comments: