Putrajaya tidak akan berhenti melaksanakan rasionalisasi subsidi walaupun ia tidak popular dan memberi kesan peningkatan kos sara hidup rakyat, kata Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, langkah tersebut penting demi memastikan kewangan kerajaan stabil kerana ia sudah terlalu lama menanggung beban kos subsidi.
"Ke arah kestabilan kewangan kerajaan, kami sudah memulakan dan akan meneruskan program rasionalisasi subsidi.
"Berdekad, kerajaan menanggung bil subsidi yang meningkat," kata Wahid semasa ucaptama semasa majlis makan malam Asia Economic Summit di Sunway malam tadi.
Bermula pada tahun lepas, Putrajaya mula mengambil langkah memotong subsidi seperti gula, elektrik dan bahan bakar bertujuan mengukuhkan defisit fiskal negara.
Wahid berkata, saban tahun kerajaan terpaksa memperuntukan jumlah besar bagi subsidi - pada 2010 hampir 15% daripada bajet diperuntukkan bagi subsidi dan insentif.
Pada 2012, jumlah tersebut meningkat kepada 21.4% atau RM44 bilion dan tahun lepas saja, kerajaan membelanjakan RM46.7 bilion bagi subsidi, insentif dan bantuan sosial.
"Ini jelas tidak mampan," katanya.
Wahid berkata, semua langkah rasionalisasi seperti kenaikan harga petrol dan diesel, pemansuhan subsidi gula dan subsidi janakuasa elektrik bertujuan memastikan keseimbangan fiskal kewangan negara.
"Malaysia komited memastikan keseimbangan fiskal dan bergerak ke arah menurunkan defisit fiskal daripada 3.9% pada 2014 kepada 3.5% pada 2014 dan mencapai bajet berimbang menjelang 2020.
Baru-baru ini di Dewan Rakyat, Putrajaya mengumumkan jumlah hutang kerajaan persekutuan pada akhir Jun 2014 sebanyak RM568.9 bilion atau 52.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Daripada jumlah itu, 97.1% atau RM552.7 bilion adalah hutang domestik, sementara bakinya RM16.2 bilion atau 2.9% merupakan pinjaman luar pesisir.
Putrajaya menyifatkan kedudukan hutang kerajaan berada di bawah 55% daripada KDNK dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.
Wahid berkata, kerajaan yakin dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), matlamat kearah bajet berimbang tersebut mampu dicapai.
"Cukai GST akan dilaksanakan dan rasionalisasi subsidi akan mampu membawa kita mencapai sasaran ini," katanya.
Wahid berkata, jika kewangan negara kukuh, peruntukan bagi pembangunan juga boleh ditingkatkan.
Putrajaya pada bulan lalu menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, langkah yang menerima kecaman dan kritikan pada ketika kos sara hidup meninggi setiap tahun dan gaji tidak setimpal dengan kenaikan tersebut.
Keadaan dijangka bertambah buruk tahun depan apabila bermulanya pelaksanaan GST, ramai penganalisis melihat 2015 sebagai tahun mencabar buat rakyat Malaysia.
Sementara itu, populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini juga jatuh dan dikatakan berpunca daripada langkah rasionalisasi tersebut.
sumber
No comments: