» » 'Saya jadi mangsa fitnah kerana pembangkang gagal fitnah Najib'


Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mendedahkan beliau sering menjadi mangsa pihak pembangkang ‎yang suka menyebarkan dakwaan tidak benar ke atasnya selepas gagal berbuat demikian terhadap perdana menteri.

Isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu menegaskan, beliau tidak akan sesekali luntur semangat untuk berkhidmat kepada rakyat meskipun pelbagai fitnah dan tohmahan dilemparkan terhadapnya.

"Pembangkang objektifnya adalah mahu menjatuhkan kerajaan. Sebab mereka tidak boleh kata Najib, jadi mereka kata saya," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Desa Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2014, di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

"Tapi ia tidak akan meruntuhkan semangat. Selagi darah mengalir dalam badan saya, selagi itu saya akan terus berkhidmat kepada rakyat, kepada wanita."

Bercakap di hadapan kira-kira 600 hadirin, beliau turut menggesa agar mereka tidak mempercayai berita tidak benar mengenainya yang disebarkan melalui laman sosial.

"Saya minta janganlah percaya apa yang tulis di Facebook. Kita nak tambah pahala bukan dosa. Kalau percaya benda tak betul, dia yang berdosa," katanya.

Beliau berkata demikian, mengulas kontroversi peruntukan RM711 juta dalam Bajet 2015 yang dikhususkan untuk pendidikan pra-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, Tadika Kemas dan Tadika Perpaduan tetapi dihebohkan sebagai peruntukan untuk Program Permata Negara yang dinaunginya.

Rosmah berkata, isu itu sengaja ditimbulkan oleh pembangkang kerana tidak puas hati dengan pentadbiran suaminya.

Katanya, beliau berpegang kepada prinsip 'berani kerana benar' dan tidak perlu takut sekiranya tidak melakukan kesalahan.

"Yang iri hatinya di sebelah sana. Tapi tidak apalah, mereka nak kata apa, cakaplah. Saya paling kurang pun, akan kata syukur Alhamdullilah.

"Kalau tidak ada bukti janganlah tuduh. Saya ada bukti, sebab itu saya berani kerana benar. Kenapa saya perlu takut?" soalnya.

Beliau juga secara tidak langsung dilihat mencabar individu yang suka menyebarkan kisah tidak benar terhadapnya dengan menulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri.

"Kalau siapa yang ada kemusykilan, terus tulis surat kepada pegawai saya di Jabatan Perdana Menteri.

“Kita akan jawab. Kalau ada soalan yang tak pasti, tanyalah di sana, jangan dengar di Facebook," katanya.

Antara lain, Rosmah juga dilihat mempertahankan dirinya daripada tuduhan yang mendakwa beliau sering mengawal suaminya dalam urusan pentadbiran kerajaan.

"Sebab itu saya kata, jangan dengar cakap orang di luar sana. Mereka kata Najib takut pada saya. Najib badannya besar, saya kecik.. saya yang takut kena lenyek," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .