» » 'Kuasa politik Melayu semakin luntur selepas era Dr Mahathir'


Pemimpin Melayu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad gagal menghayati keperitan generasi terdahulu untuk mendapatkan kuasa politik apabila dengan mudah tunduk kepada desakan kumpulan tertentu, kata Datuk A Kadir Jasin

Wartawan veteran itu berkata, ini termasuklah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dengan mudah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang dibuat orang Melayu ketika mereka sedang kuat.

“Dengan kuasa politik itulah orang Melayu merundingkan kemerdekaan, membuat undang-undang serta menubuhkan perkhidmatan awam, polis dan tentera. Tetapi selepas era Dr Mahathir, hal itu mula diketepikan oleh kepemimpinan yang mahu dipuji dan dipuja.

“Bermula pada era Abdullah dan berterusan ke dalam era Najib, bukan sahaja kuasa politik Melayu semakin luntur malah undang-undang yang dibuat oleh orang Melayu ketika mereka kuat mula disia-siakan,” kata bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) yang menulis di blognya hari ini.

Kadir berkata, pemimpin Melayu yang mudah tunduk kepada desakan kumpulan tertentu adalah disebabkan buta sejarah dan mudah termakan dengan dakyah golongan liberal Barat.

Katanya, puak yang melabelkan diri mereka sebagai liberal tidak akan senang dan berasa aneh bagaimana sebuah negara yang dipelopori orang Melayu Islam boleh maju, aman dan selamat.

“Mereka mahu Malaysia jahanam seperti negara-negara Islam lain. Bagi mereka, pucuk dicita ulam mendatang apabila ada pemimpin Melayu Islam yang gembira bersekongkol dan bersekedudukan dengan mereka.

“Upahnya murah saja – puji dan puja, gambar besar di layar raksasa di Times Square di New York,” katanya yang turut membayangkan sama ada perhimpunan agung Umno kali ini bakal menjadi pengakhiran atau permulaan kepada pemulihan parti Melayu itu.

Beliau berkata selepas berakhirnya zaman pemerintahan Dr Mahathir, pemimpin Melayu melakukan satu demi satu kesilapan sehingga kaum itu kini menjadi bahan caci, fitnah dan benci orang Cina dan India.

Katanya, orang Melayu yang masih berani bersuara mempertahankan hak mereka dilabelkan sebagai rasis manakala yang mempertahankan Islam dilabelkan sebagai pelampau.

“Tetapi apabila orang Cina dan India, orang Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh bersuara mempertahankan bangsa, agama, bahasa dan budaya mereka, mereka digambarkan sebagai orang terpinggir yang dianaktirikan dan bakal pupus. Mereka dikatakan memperjuangkan hak asasi,” katanya.

Kadir berkata disebabkan orang Melayu percayakan empat perdana menteri pertama, mereka sanggup memberikan kewarganegaraan kepada lebih sejuta perantau Cina dan India pada 31 Ogos 1957.

Katanya, pemimpin itu jugalah yang menjadikan orang Melayu kekal sederhana, bertolak ansur dan pemurah terhadap warganegara keturunan perantau selama hampir lima dekad.

“Orang Melayu itulah yang menerima perantau Cina, India dan segala rupa pelarian perang dan pelarian ekonomi. Hasilnya, perantau yang kebuluran dan dianiaya di bumi sendiri menemui kesenangan di bumi Melayu.

“Orang Melayu menerima mereka sebagai jiran. Menerima babi dan anjing, tokong dan kuil mereka. Orang Melayu itu jugalah yang rela hati memberikan kebebasan ekonomi, pendidikan, bahasa, budaya dan agama kepada warganegara perantau itu,” katanya.

Berdasarkan senario politik semasa, Kadir berkata kini semakin ramai orang Melayu dan Islam mula sedar mereka tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada parti politik Melayu Islam.

Katanya, orang Melayu mula bersuara di luar kerangka politik parti dan tidak lagi yakin sepenuhnya terhadap komitmen kepemimpinan Melayu Islam - sama ada di sebelah pihak Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat untuk mempertahankan kaum dan agama.

“Orang Melayu dan Islam Malaysia hari ini tetap sederhana, tahan uji, bertolak ansur dan pemurah seperti orang Melayu dan orang Islam Malaysia pada 1957.

“Orang Cina dan India pula “menerima” orang Melayu Islam kerana kuasa politiknya dan mereka berlindung di bawah kuasa politik Melayu Islam yang toleransi untuk hidup lebih senang daripada di bumi asal mereka,” katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .