Pegawai pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang didakwa atas cubaan merogol membawa malu kepada pasukan dan negaranya, lapor New Zealand Herald hari ini.
Memetik kenyataan pembangkang Malaysia, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, edisi Ahad akhbar itu berkata kes Muhammad Rizalman Ismail (gambar) adalah yang pertama seumpamanya dan memalukan negara.
"Ini kes pertama di Malaysia di mana seseorang berpakaian seragam dibebankan dengan tindakan tersebut. Ini memberi gambaran buruk kepada integriti negara," kata Zuraida kepada Herald.
Rizalman ditahan reman semalam berikutan penampilan ringkas di Mahkamah Daerah Wellington.
Rizalman, seorang pegawai Waran Kedua di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dituduh menyerang Tania Billingsley di rumahnya dan menyerangnya dengan niat merogol pada 9 Mei.
Beliau yang pulang ke Malaysia selepas menggunakan kekebalan diplomatik mencetuskan kemarahan di negara ini, dan pihak berkuasa menyiasat bagaimana pegawainya membenarkan Rizalman pergi.
Beliau akhirnya diterbangkan dari Kuala Lumpur ke New Zealand dengan polis pengiring pada Jumaat melalui proses ekstradisi yang lama tertangguh untuk membolehkan beliau didakwa di New Zealand.
Menurut Herald, isteri dan tiga anak-anaknya tidak menemaninya ke New Zealand dan masih di Kuala Lumpur, di mana lokasi mereka dijaga ketat oleh kerajaan.
"Saya rasa ia kerana ia sesuatu yang cukup memalukan bagi keluarga (yang beliau sudah) didakwa," Zuraida dipetik sebagai berkata.
"Selepas mereka pulang mereka cukup dijaga... dan kemudian beliau dielakkan dari pandangan umum, begitu juga keluarganya."
Pemimpin PKR itu juga mengkritik cara Putrajaya mengendalikan kes itu dengan mendakwa mereka cuba menyembunyikannya daripada orang ramai dan mengelak tuduhan tersebut.
"Pihak berkuasa Malaysia berusaha menyembunyikan perkara ini, tetapi ia terdedah," katanya.
"Salah tetap salah, tidak kira siapa anda. Saya membuat kenyataan mengatakan beliau perlu dibawa kembali untuk diadili di New Zealand dan bukannya bawanya kembali ke Kuala Lumpur... sekarang mereka menghormati kata-kata mereka untuk membawanya kembali bagi menghadapi kes ini."
Rizalman ditahan polis New Zealand pada 9 Mei dan dibawa ke mahkamah hari berikutnya untuk menghadapi tuduhan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk rogol, menurut Bernama.
Beliau dan keluarganya diterbangkan kembali ke Malaysia pada 22 Mei, dan Kementerian Pertahanan melancarkan siasatan ke atas kes itu.
Beliau menjalani penilaian psikiatri di Hospital Tentera Tuanku Mizan sebaik tiba dan dibenarkan keluar pada akhir bulan Julai.
Kementerian Luar Negeri berkata kepulangan Rizalman ke New Zealand adalah bukti kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan dari kedua-dua negara, Malaysia dan New Zealand dan selaras dengan kedaulatan undang-undang kedua-dua negara, lapor Bernama.
No comments: