Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mempertahankan langkah membenarkan pengusaha bas sekolah dalam menentukan kadar tambang mereka sendiri.
Pengerusi SPAD Tan Sri Hamid Albar berkata langkah itu diperkenalkan kerana pengusaha bas sekolah tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
"Apa yang kita perkenalkan ini bukan benda baru. Sekarang pun tambang dirunding bersama oleh ibu bapa dan pengusaha bas sekolah.
"Kalau kita lihat tambang yang dipersetujui, kebanyakannya tidak ikut kadar ditetapkan LPKP. Jadi buat apa kita buat peraturan kalau tidak dapat laksanakannya," katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.
Bekas menteri Kabinet itu berkata langkah itu tidak akan membebankan ibu bapa kerana mereka mempunyai kuasa untuk berunding harga yang ditawarkan.
"Ibu bapa tahu berapa yang mereka bayar sekarang. Jadi mereka boleh gunakannya sebagai penanda aras apabila mahu berunding kelak.
"Bukannya mereka berunding kosong, paling baiknya adalah ibu bapa merasakan mereka mempunyai kuasa untuk bincang," katanya.
Awal bulan ini, SPAD mengumumkan berkuatkuasa Januari tahun depan, kuasa untuk menetapkan harga tambang bas sekolah terletak pada persetujuan antara tiga pihak, iaitu ibu bapa, sekolah dan pengendali bas.
Syed Hamid berharap menerusi pendekatan itu, isu kenaikan kadar tambang oleh kira-kira 15,000 pengendali bas sekolah yang sah di seluruh negara tidak timbul lagi.
"Sudah cukup sekadar kita beri mereka ruang menentukan kadar tambang. Kita memutuskan demikian setelah mengambil kira maklumbalas pihak berkepentingan dan menilai kenaikan kos operasi seperti bahan api, penyelenggaraan, pembaikan serta barang ganti bas."
Awal tahun ini, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) sudah menaikkan surcaj tambang bas sekolah bermula Januari ini sebanyak 40%, walaupun SPAD masih tidak membuat keputusan tentang tambang baru bas sekolah.
Langkah kenaikan tersebut diambil susulan kenaikan bahan api yang diumumkan oleh Putrajaya pada September 2013.
Baru-baru ini, kerajaan sekali lagi mengumumkan pemotongan subsidi sebanyak 20 sen terhadap RON 95 dan diesel, sekaligus menimbulkan kemungkinan tambang bas sekolah juga bakal akan dinaikkan sekali lagi.
Syed Hamid juga berkata pihaknya akan memantau selepas langkah tersebut berkuatkuasa.
"Kalau ada yang meletakkan harga melampau, buat aduan kepada SPAD.
"Kita akan ambil tindakan seperti gantung lesen dan rampas kenderaan pengusaha," katanya.
No comments: