MCA akan terus mempertahankan hak masyarakat Cina dalam memastikan sekolah vernakular Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) terus wujud di negara ini, kata Naib Presidennya Datin Paduka Chew Mei Fun
Beliau berkata MCA tidak akan sesekali berkompromi dengan cadangan Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad supaya Perwakilan Umno membahaskan untuk mengekalkan atau memansuhkan SJKC pada Perhimpunan Agung Umno, November ini.
Azli mendakwa sistem sekolah vernakular dijadikan alat oleh pembangkang untuk menabur sentimen perkauman dan antikerajaan.
"Ini tidak betul untuk menghalang mempelajari bahasa ibunda kerana ia adalah satu hak di bawah Perlembagaan," kata Chew, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar cukai barang dan perkhidmatan (CBP) yang dianjurkan MCA Pulau Pinang dan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia cawangan Pulau Pinang hari ini.
Chew menyeru semua kaum perlu saling menghormati bahasa ibuanda masing-masing dan isu ini tidak patut dibangkitkan kerana tidak ada masalah dengan sekolah vernakular Cina sejak merdeka 57 tahun lepas.
No comments: