Kenaikan kos kehidupan merupakan kebimbangan utama warga emas dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan menjejaskan pendapatan isi rumah dan simpanan mereka.
Permintaan utama mereka sempena Bajet 2015 supaya Putrajaya melakukan lebih untuk mereka daripada hanya memberikan bantuan berbentuk “one-off”, dan ramai memberitahu The Malaysian Insider mereka takut akan kenaikan kos kehidupan dan bimbang jika terpaksa mencari pekerjaan sampingan.
Semasa Bajet 2014, golongan pencen menerima bantuan kewangan RM250 untuk mengurangkan beban kenaikan kos kehidupan sementara isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 menerima pembayaran one-off RM650 di bawah skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
Kerajaan mengatakan BR1M akan diteruskan dalam Bajet 2015 yang akan dibentangkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini.
Terdapat lebih kurang 2.69 juta warga emas (berumur 60 tahun ke atas) di negara ini, iaitu 8.9% daripada jumlah keseluruhan populasi negara menurut angka daripada Jabatan Statistik pada 2014.
Pelan jangka panjang diperlukan untuk membantu golongan tua
T James, 64, dari Ipoh mengatakan dengan peningkatan harga barangan selepas GST dilaksanakan, beliau menjangka akan menggunakan 50% lebih daripada simpanannya setiap bulan untuk barang makanan dan membayar bil.
"RM5 sekarang belum tentu boleh beli barang sama tahun akan datang. Saya mungkin terpaksa mengurangkan perbelanjaan 'mewah' seperti langganan siaran televisyen berbayar Astro, makan luar, dan penggunaan penghawa dingin,” katanya.
Beliau berkata 2015 akan menjadi tahun mencabar buat golongan pesara sepertinya memandangkan kenaikan harga minyak petrol memberi kesan kenaikan berganda, apatah lagi kesan GST.
Bagi James yang bersara tiga tahun lepas selepas anak bongsunya tamat pengajian di universiti dan mula bekerja, bantuan one-off RM650 hanya memberi kesan yang kecil kepada perbelanjaan bulanan RM3,000 ditanggungnya, termasuk makanan, bil utiliti, Astro, petrol dan bekalan perubatan.
"Tidak banyak yang boleh dinikmati warga emas seperti kami melainkan hanya sumbangan kecil wang untuk menampung kenaikan kos. Sedangkan inflasi naik mendadak lebih daripada hasil pendapatan.
"Syukur sekurang-kurangnya saya ada rumah sendiri yang sudah selesai bayaran ansurannya. Jika tidak mungkin hidup saya lebih teruk," kata bapa kepada tiga anak itu.
"Saya masih boleh bergantung harap anak-anak tetapi kenaikan kos hidup juga memberi kesan kepada mereka," katanya.
Bagi James, pelan bantuan jangka panjang perlu disediakan memandangkan pendapatan pesara tidak berubah selain hanya menikmati hasil simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Pemberian tunai hanya bertahan seminggu sahaja dan sukar untuk kami terus bertahan sepanjang tahun.
"Tidak seperti golongan muda, perbelanjaan kami cuma sedikit, tetapi kesan kenaikan kos sara hidup juga akan dirasai. Saya ada isteri yang sakit dan memerlukan rawatan jadi saya harap ada sesuatu yang ditawarkan dalam sektor kesihatan,” katanya.
Apakah kerajaan akan pastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan GST?
Sam Yee, 67, turut menjangka perkara sama apabila kuasa membelinya akan susut sekurang-kurangnya 30% tahun depan selepas GST terlaksana.
Walaupun pendapatan isi rumahnya berjumlah RM7,000, Sam Yee berkata kesan pelaksanaan GST sedikit sebanyak akan turut dirasainya menjelang April 2015.
"Jika tidak cukup, saya mungkin terpaksa cari pendapatan sampingan. Mungkin saya akan menggunakan motosikal untuk jimatkan penggunaan minyak dan perkara lain yang boleh dijimatkan. Mungkin saya akan berhenti melanggan Astro," kata pesara dari Pulau Pinang itu.
Katanya GST juga akan menyebabkan kos barang yang tidak dikenakan cukai turut naik harga kerana kos lain yang perlu ditampung peniaga.
"Sektor perniagaan lain mungkin juga akan dieksploitasi. Apabila kita beli makanan, walaupun tidak dikenakan GST seperti sayuran, kita mungkin akan bayar lebih kerana peniaga perlu menampung harga kos.
"Bolehkah kerajaan mengawal situasi ini atau memastikan agar ianya tidak berlaku?" soalnya.
Katanya bajet tahun lalu sepatutnya menilai kos rawatan di hospital dan klinik swasta, terutamanya bagi golongan warga emas.
Katanya peruntukan juga perlu diberikan Putrajaya kepada hospital awam yang menerima peningkatan pesakit setiap tahun.
Beliau berharap Putrajaya akan melaksanakan kenaikan pencen berkadar sekurang-kurangnya 10% setiap tahun bagi meringankan beban bekas penjawat awam yang sebelum ini setia berbakti kepada negara.
"Kerajaan perlu bersikap efisyen memastikan supaya tidak ada lagi projek atau bisnes yang hanya mendatangkan keuntungan dibuat selepas melaksanakan GST," katanya.
Kerja sampingan diperlukan untuk terus hidup
BR1M dan skim bantuan lain yang disediakan kerajaan bagaimanapun sedikit sebanyak membantu Sidek Rahman, 61, yang tinggal bersama anak dan menantunya bersama empat cucunya berusia 23 tahun hingga 5 tahun.
Namun masih bimbang jika pendapatannya tidak cukup menampung kesan kenaikan harga barang pada tahun depan.
"Setiap kali hujung tahun amat memeritkan. Saya terpaksa mengawal kewangan kerana memikirkan bayaran cukai dan perbelanjaan lain untuk isi rumah.
"Bantuan kerajaan cuma bersifat one-off tetapi dengan harga barang yang semakin meningkat saya rasa kenaikan kadar itu tidak seimbang," katanya.
Sidek berkata dia kini membuka gerai jualan kuih dan air kelapa bagi mendapatkan pendapatan sampingan.
"Setiap pagi saya berkebun, sebelah petang pula saya akan menjual hasil tanaman seperti kelapa untuk menambah pendapatan," katanya yang menyimpan impian untuk mengerjakan haji jika mempunyai simpanan mencukupi.
sumber
No comments: