Suasana sayu dan hiba turut dirasai oleh selebriti tanah air dengan ucapan takziah menerusi laman sosial mereka.
Bagi penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain, dia tidak dapat menahan kesedihan tatkala mendengar berita tragedi MH17.
Dia yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai paramugari syarikat penerbangan Malaysia (MAS), amat terkejut dengan kejadian yang menimpa penumpang dan anak kapal MH17.
“Tragedi ini amat menyedihkan. Saya sendiri menitiskan air mata mengenang nasib yang menimpa mereka. Bagi saya kejadian ini mungkin ada sebab Allah nak tunjuk pada kita.
“Kita sebagai umat Islam marilah sedekahkan Al-fatihah kepada mereka. Tidak perlulah memberi kata-kata negatif yang boleh menyakitkan hati krew-krew dan keluarga mangsa.
“Kejadian ini menyedarkan banyak pihak sebenarnya betapa nyawa diambil dalam sekelip mata sahaja.
“Bayangkan mangsa yang ingin pulang ke Malaysia untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga tetapi tidak kesampaian,” katanya yang ditemui pada majlis rumah terbuka syarikat Laugh Out Loud rabu lalu.
Dalam pada itu, Zian Zain berharap agar seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam sama-sama memanjatkan doa pada hari perkabungan Malaysia yang berlangsung hari ini.
No comments: