Pelakon Elfira Loy akui seorang yang lasak dan suka meneroka tempat-tempat menarik luar negara.
Dia yang baru sahaja pulang bercuti dari Lombok bersama keluarga, merasakan percutian di sana adalah satu kepuasan bagi dia sekeluarga..
“Saya rasa tempat yang paling menarik sekali adalah Lombok. Setelah saya merasai pengalaman itu sendiri, saya dapati di sana terdapat banyak tempat menarik yang boleh dilawati.
“Pada mulanya saya agak takut pergi bercuti di Lombok tetapi apabila sudah sampai, saya begitu kagum dengan keindahan persekitaran di sana. Pemandangan laut dan gunungnya sangat cantik,” kata Elfira ketika ditemui pada majlis rumah terbuka syarikat Laugh Out Loud Rabu lalu.
Dalam pada itu, pelakon berusia 20 tahun ini suka berkongsi cerita dengan peminatnya di laman Instagram sekiranya dia ke sesuatu tempat yang menarik.
Tambahnya lagi, tempat yang paling digemarinya adalah kawasan gunung dan laut.
Elfira juga turut berkongsi cerita mengenai pengalaman buruk ketika mengikuti satu penggambaran di Eropah.
“Pengalaman paling buruk pernah saya lalui ketika di Eropah adalah saya dan semua krew terlepas waktu penerbangan!
“Bayangkan Kak Erma Fatima yang merupakan penerbit kami ketika itu terpaksa membayar semula semua tiket penerbangan pelakon dan krew. Ya Allah, malang betul nasib.
“Di sana terdapat banyak lapangan terbang dan ianya sungguh mengelirukan. Kami mencari lapangan terbang yang betul sehinggalah terlepas penerbangan,” kata Elfira.
Selain itu, Elfira akan ke Manchester untuk menjalani satu penggambaran yang belum diketahui tajuk ceritanya.
“Insya-Allah saya akan menjalani penggambaran selama lima hari tetapi saya akan berada di sana untuk dua minggu. Jadi selebihnya saya akan travel ke tempat-tempat yang berdekatan di sana,” katanya yang begitu teringin bercuti di Spain, Monte Carlo dan Australia.
sumber
No comments: