Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tampil mempertahankan perdana menteri yang dikritik hebat Tun Dr Mahathir Mohamad, dan mengatakan Datuk Seri Najib Razak mendengar dan berbincang dalam kabinet sebelum menggubal dasar dan membuat keputusan.
Timbalan perdana menteri itu berkata Najib tidak bersifat diktator dalam keputusan beliau.
"Dalam soal sebuah kerajaan seperti Malaysia, penggubalan dasar biasa di buat bersama-sama. Walau pun perdana menteri ada di situ, kita lihat cara dan amalan Datuk Seri Najib, beliau biasa berbincang. Berbincang dengan saya, jemaah menteri, meminta pandangan," kata timbalan presiden Umno itu.
"Begitu juga dalam soal keselamatan, bagaimana hendak tangani ancaman-ancaman yang dihadapi negara di peringkat sempadan negeri dan antarabangsa, bagaimana kita hadapi peristiwa-peristiwa seperti tragedi MH370, MH17.
"Boleh dikatakan sebahagian besar daripada itu diambil tindakan yang berhasil dari perbincangan bersama."
Beliau berucap ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Permatang Pauh di Seberang Jaya tengah hari tadi.
"Banyak orang tanya saya kenapa timbalan PM belum buat komen," kata Muhyiddin, merujuk kritikan Dr Mahathir.
"Hari ini, saya akan bercakap mengenainya memandangkan bahagian Umno ini istimewa."
Muhyiddin merupakan pemimpin tertinggi Umno membuat komen mengenai kritikan Dr Mahathir.
Umno Bahagian Permatang Pauh terletak di dalam kubu kuat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan timbalan perdana menteri sebelum dilucutkan jawatan oleh Dr Mahathir pada 1998.
Minggu lalu, Dr Mahathir menyelar pentadbiran Najib dan mengumumkan menarik balik sokongan kepada beliau kerana kesal tegurannya tidak diendahkan.
Menurut Dr Mahathir, banyak dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib "merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara".
Katanya, kelemahan Najib bermula apabila beliau melayan tuntutan musuh dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2011 serta Akta Buang Negeri, yang memberi kuasa kepada kerajaan menahan sesiapa disyaki terlibat jenayah tanpa proses mahkamah.
"Saya cuba menyampaikan pendapat saya secara langsung kepada Datuk Seri Najib.
"Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur," tulis Dr Mahathir di blognya chedet.cc.
Dr Mahathir turut berkata prestasi Najib lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sehingga hari ini, pemimpin Umno berhati-hati dalam menjawab kritikan secara terbuka Dr Mahathir terhadap Najib.
Ramai sudah mempertahankan Najib, termasuk Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sambil menggunakan contoh Najib menangani tragedi Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 sebagai keberkesanan kerajaan.
Ini diikuti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata Najib mesti dihormati semua, termasuk Dr Mahathir.
"Sebagai seorang negarawan, Tun Mahathir selaku bekas PM dan bekas presiden Umno ada pengalaman panjang. Pastinya kita kenali hati nurani Tun Mahathir sendiri yang sudah cipta kecemerlangan negara kita, yang jadikan Malaysia antara negara membangun yang paling pesat hari ini.
"Jadi kita hormati pandangan beliau. Saya fikir tidak ada seorang pun yang tidak hormat pandangn Tun Mahathir," kata Muhyiddin.
Muhyiddin berkata beliau sudah bertemu Dr Mahathir dan memberikan penjelasan sekiranya maklumat mengenai beberapa isu tidak sampai kepada bekas presiden Umno.
"Saya sebenarnya berpeluang junpa Tun Mahathir kerana beliau jemput saya beberapa kali untuk berbincang tentang beberapa isu. Banyak perkara yang sudah disentuh, baik soal ekonomi, urusan negara, urusan keselamatan negara, soal berkaitan isu dan bidang tertentu," katanya.
Muhyiddin turut berkata masa sudah berubah berbanding era Dr Mahathir terutamanya dengan perkembangan media sosial.
Beliau berkata, pengaruh media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain tidak boleh dinafikan.
"Mungkin pada zaman Tun Mahathir, ia hanya bermula. Sekarang ini kita berdepan dengan keadaan yang disebut sebagai real time.
"Ini perlu soal pengurusan yang sudah tentu lebih sukar, apa lagi dengan perkembangan minda rakyat Malaysia yang tidak seperti yang dilihat 20, 30 tahun yang lalu, lebih terdidik dengan ilmu, berpengetahuan, berinfomasi," katanya.
Muhyiddin berkata beliau bukan mahu mencari alasan untuk kerajaan, sebaliknya mahu menjelaskan keadaan hari ini tidak sama dengan 10 hingga 30 tahun lepas.
Beliau berkata cara rakyat berfikir juga sudah berubah, akan tetapi mengakui sesetengah polisi perlu dikaji dan perbaiki.
Muhyiddin juga yakin majoriti rakyat masih menyokong kepimpinan Najib, terutama bahagian Umno di seluruh negara.
"Kita perlu beri beliau masa, peluang untuk terus memperbaiki pentadbiran negara kita. Saya sebagai timbalannya sentiasa bekerjasama dan beri sokongan padu kepada beliau supaya apa yang dikehendaki oleh rakyat dlm pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya, hubungan antara kaum yang kita hendak bentuk demi perpaduan yang lebih kukuh," katanya.
sumber
No comments: