Usaha kerajaan mengadakan taklimat penerangan mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada semua lapisan masyarakat merupakan langkah yang bijak kerana dapat memastikan pelaksanaanya tidak diputar belit oleh pembangkang.
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak Hairul Anwar Mohamed Noor berkata ini kerana pembangkang sering mempengaruhi pemikiran rakyat supaya menolak usaha transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Program taklimat itu dapat memberi pemahaman dan pengetahuan kepada usahawan dan peniaga mengenai usaha tindakan kerajaan memperkenalkan cukai berkenaan yang akan dilaksanakan pada April 2015," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat GST di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri Perak di Ipoh hari ini.
Pengetahuan dan pemahaman mengenai GST adalah sangat penting kerana ia sesuatu yang baharu di negara ini walaupun dilaksanakan hampir di 160 negara di dunia, katanya.
Beliau berkata pembangkang sudah tentu akan membuat pelbagai tohmahan dan dakwaan tidak benar mengenai GST bagi mendapat sokongan supaya rakyat menolak pelaksanaannya.
Pemuda BN berharap golongan usahawan dan peniaga tidak terpengaruh dengan tohmahan pembangkang dengan mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak kastam.
"Pembangkang mendakwa jika GST dilaksanakan di negara ini ia akan membebankan rakyat, semua barang akan naik tetapi hakikatnya apabila cukai itu dilaksanakan ia akan menguntungkan rakyat," katanya.
Pada pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar 6% bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan, pada 1 April 2015.
sumber
No comments: