Dilihat sebagai “pengganti” kepada suaminya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui hari ini beliau tidak mampu menjadi pengganti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi krisis Selangor memaksa beliau tampil menyelamatkan keadaan.
Dr Wan Azizah berkata, langkah untuk kembali aktif bukan semata-mata demi ketua umum PKR tersebut, tetapi sebaliknya kerana perjuangan yang dibawa oleh Anwar selama ini.
"Ia bukan semata-mata kerana Anwar, tetapi idea beliau dan nilainya yang kita hargai dan ingin gunakan untuk membawa perubahan demi masa depan negara," kata Dr Wan Azizah merujuk kepada suaminya, Anwar yang juga ketua pembangkang.
Dr Wan Azizah ditemubual agensi berita luar negara di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada hari pertama perbicaraan kes saman Anwar ke atas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Apabila ditanya mengenai label pengganti selepas dipilih dalam "Langkah Kajang" bagi menyingkirkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau berkata tidak akan mampu menjadi pengganti kepada suaminya.
"Tidak, saya tidak boleh menggantikannya (Anwar), tapi saya boleh sokong dia dan beri apa sahaja bantuan. Ia kerja berpasukan," katanya.
Anwar pada awalnya diletak sebagai calon di Kajang, bagaimanapun hasratnya terhalang selepas disabitkan bersalah dalam kes Liwat II.
Dr Wan Azizah juga tenang apabila ditanya mengenai masa depan suaminya dalam karier politik yang dibimbangi berdepan ancaman daripada pemerintah.
"Mereka (kerajaan) lihat beliau sebagai ancaman kepada kedudukan mereka dan pegangan kuasa mereka.
"Cara dia didakwa dan dihukum menunjukkan bagaimana mahkamah digunakan untuk kepentingan. Jadi, tiba masanya untuk saya tampil ke depan," katanya.
Dr Wan Azizah berkata keputusan parti meletakkannya bagi menggantikan Khalid sesuatu yang "pahit", tetapi ia mesti dilakukan.
"Kami dapat tahu sesuatu berlaku, jadi ia adalah keputusan politik dan sukar untuk dibuat. Tapi kami perlukan perubahan," katanya.
Beliau juga mempertahankan krisis di Selangor tidak menggugat persahabatan dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya menguji kekuatan gabungan tersebut.
Dalam satu temubual berlainan, Anwar menafikan pencalonannya isterinya bertujuan menyelamatkan karier politiknya.
"Dr Wan Azizah layak dari segi akademik. Dia mengetuai pembangkang pada masa lalu, dan dia tunjukkan prestasi yang baik. Saya bangga dengannya. Ia tiada kaitan dengan kerjaya politik peribadi saya," katanya.
PKR memecat Khalid pada 9 Ogos kerana melanggar perintah parti memutuskan Dr Wan Azizah menggantikannya sebagai menteri besar Selangor.
Khalid dijangka bertemu Sultan Selangor esok bagi membincangkan kedudukannya.
sumber
No comments: